Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hyundai Heavy Industries Sedia Tawar Tiga Platform Kapal Teruji Kepada TLDM

24/09/2025 04:59 PM

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Hyundai Heavy Industries (HHI) menyatakan kesediaannya untuk menyokong program pemodenan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan menawarkan tiga platform kapal tentera laut terbukti yang disesuaikan dengan Pelan Transformasi 15-ke-5 TLDM.

Pengurus Jualan, Program Pertahanan Antarabangsa Bahagian Kapal Tentera Laut dan Kapal Khas HHI, Jewon Yun berkata syarikat itu bersedia mencadangkan model HDP-1500, HDP-2200 dan HDP-10000 untuk program perolehan akan datang di bawah TLDM.

Ad Banner

“Bagi pihak HHI, saya berbangga untuk mencadangkan model-model yang terbukti keupayaannya kepada TLDM. Kami lebih daripada bersedia menyokong pelaksanaan program 15-ke-5 dari segi kerjasama jangka panjang dan kolaborasi tempatan,” katanya kepada Bernama di sela-sela Forum Kapasiti dan Kolaborasi Maritim semalam.

Beliau berkata ketiga-tiga model tersebut merupakan platform terbukti dengan rekod operasi sedia ada.

“Apa yang kami tawarkan kepada Malaysia bukan sekadar konsep, sebaliknya kapal yang sudah pun digunakan oleh tentera laut negara lain,” katanya.

Beliau menambah HHI komited memastikan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dapat dibangunkan di Malaysia, sebagaimana pelaburan syarikat itu di Limbungan Subic di Filipina.

“Kami tiada masalah untuk melatih jurutera tempatan. Kami boleh menghantar pakar dari Limbungan Ulsan untuk bekerjasama dengan limbungan kapal tempatan, supaya pasukan tempatan dapat mengendalikan penyelenggaraan dan pembaikan kecil tanpa perlu menunggu sokongan dari Korea Selatan,” katanya.

Ditanya sama ada kapal itu akan dibina sepenuhnya di Korea Selatan atau sebahagiannya di Malaysia, Yun berkata susunan akhir terbuka untuk dirunding bersama kerajaan Malaysia.

“Tidak semestinya perlu dibina 100 peratus di Korea Selatan. Ia boleh jadi 50-50 atau bahkan 20-80. Kami fleksibel dan terbuka untuk bekerjasama dengan rakan tempatan,” katanya.

Pelan Transformasi 15-ke-5 TLDM yang dilancarkan pada 2015 bertujuan menstruktur semula armadanya daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal tempur teras menjelang 2050.

Strategi ini digubal bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos penyelenggaraan serta memperkukuh kebolehoperasian antara platform.

Lima kelas yang dikenal pasti ialah Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS), Kapal Tempur Pesisir (LCS), Kapal Misi Pesisir (LMS), Kapal Rondaan (PV) dan Kapal Selam.

Melalui konsolidasi ini, TLDM berhasrat menggantikan aset usang dengan platform moden pelbagai misi yang mampu mempertahankan kepentingan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan dan perairan sekitarnya.

Dengan menggabungkan (kapal) ke dalam kelas-kelas ini, TLDM berhasrat menggantikan aset lama dengan platform moden pelbagai misi yang mampu melindungi kepentingan maritim Malaysia, khususnya di Laut China Selatan dan perairan sekitarnya.”

Forum berkenaan, yang bersempena Seminar Kerjasama Industri Pertahanan Korea-Malaysia ke-3 anjuran Kedutaan Republik Korea, menghimpunkan pegawai pertahanan Malaysia serta pemain industri untuk membincangkan pemodenan angkatan laut dan kerjasama strategik.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan