BUKIT KAYU HITAM, 24 Sept (Bernama) -- Orang ramai yang ingin berkunjung ke Thailand menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kini boleh menggunakan perkhidmatan kenderaan ulang-alik atau shuttle yang disediakan di Kompleks Darul Qiyam, di sini.
Pegawai Eksekutif Haramain Holidays & Transport (M) Sdn Bhd Mohd Yazwandi Yaacob berkata pihaknya mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan itu yang telah beroperasi sejak April lepas, bagi memudahkan perjalanan orang ramai untuk masuk atau keluar dari negara jiran.
"Perkhidmatan Van Shuttle Border ke Border Malaysia–Thailand ini disediakan di Kompleks Darul Qiyam, di sini, orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka dan kemudian menggunakan perkhidmatan shuttle untuk ke sempadan.
"Perkhidmatan ini memudahkan perjalanan orang ramai sama ada untuk pergi dan balik dari negara jiran dengan cepat menggunakan lorong bas dan van pelancong di ICQS Bukit Kayu Hitam, jika guna kenderaan persendirian mungkin akan sesak sebab kenderaan banyak," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan dan Penerangan Pengoperasian Van Shuttle Border ke Border Malaysia–Thailand serta Perasmian Tapak Parkir Baharu Kompleks Darul Qiyam di sini hari ini.
Mohd Yazwandi berkata inisiatif berkenaan turut boleh dimanfaatkan pengunjung dari Thailand untuk memasuki Malaysia sekali gus dapat memperhebat aktiviti pelancongan negara.
“Kita berharap perkhidmatan ini akan dapat merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata harga tiket bagi perkhidmatan itu pula ditetapkan pada kadar RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU), sementara kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah adalah percuma.
Sementara itu, Mohd Yazwandi berkata tapak parkir baharu di Kompleks Darul Qiyam, di sini mampu memuatkan lebih 800 kenderaan dengan sistem pengawasan 24 jam.
"Di sini kita wujudkan kaunter tiket, tempat menunggu, sistem parkir berpalang, kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam, khusus untuk orang ramai yang meletakkan kenderaan di sini dan menggunakan van shuttle untuk ke sempadan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial