PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2025 yang sedang berlangsung dari 18 Ogos hingga 30 Sept ini kembali meraikan kepelbagaian pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim di Malaysia melalui kempen promosi digital berskala nasional.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata ITM merupakan inisiatif utama Islamic Tourism Centre (ITC) yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian sejak 2022, menghimpunkan pelbagai tawaran produk, pengalaman imersif dan perkhidmatan pelancongan daripada 165 rakan industri di seluruh negara.
“ITM berbeza daripada acara fizikal atau ekspo, pendekatan digital itu membolehkan ITM menjangkau audiens lebih luas tanpa batasan lokasi, selain membuka peluang pasaran baharu kepada penggiat industri,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di sini baru-baru ini.
Sejak dianjurkan tiga tahun lepas, beliau berkata ITM telah menjana lebih RM5 juta dalam hasil jualan dengan penyertaan lebih 300 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Shaharuddin berkata kempen selama 43 hari itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia, di samping memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Berkongsi tarikan utama ITM, beliau berkata “TikTok Challenge” turut diadakan tahun ini yang memasuki edisi ketiga.
Shaharuddin berkata cabaran itu diperkenalkan bagi mendekati golongan belia yang merupakan pengguna media sosial paling aktif, sekali gus menjadikan mereka lebih dekat dengan produk serta destinasi pelancongan mesra Muslim.
Beliau berkata melalui platform TikTok mesej pelancongan Islam disampaikan dengan cara segar, interaktif dan sesuai dengan gaya hidup anak muda.
“Cabaran ini bukan sahaja memupuk kreativiti belia dalam menghasilkan kandungan positif, malah membuka peluang untuk mereka menjadi duta kecil dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam yang menarik dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata hadiah bernilai lebih RM50,000 termasuk pakej pelancongan ke Xi’an, China, serta pengalaman unik pelayaran Islamik pertama di dunia menanti pemenang cabaran tersebut.
Maklumat lanjut mengenai ITM dan TikTok Challenge boleh didapati di www.itm.itc.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial