PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- IKONDESA, yang dilancarkan hari ini akan menjadi platform akses pasaran strategik bagi produk desa keluaran usahawan di bawah bimbingan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensinya, melalui penubuhan pusat jualan fizikal di pusat bandar.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata IKONDESA dilihat sebagai pemacu perubahan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) luar bandar agar tidak hanya terhad kepada pasaran setempat.
"IKONDESA ini kita wujudkan sebagai satu game changer (pencetus perubahan) dan kita mesti menyediakan platform untuk produk-produk dari luar bandar untuk dijual kepada para pelancong.
"Oleh itu, dengan ketibaan pelancong yang akan melawat ke sini (Putrajaya), dia akan dapat melihat produk-produk dari kawasan desa yang bertukar setiap bulan dan mudah-mudahan ini akan membuatkan satu daya tarikan yang baru untuk pelancong-pelancong kita," katanya berucap pada Majlis Peluncuran IKONDESA@Putrajaya di sini hari ini.
Ahmad Zahid turut menyeru usahawan desa agar menjadikan IKONDESA sebagai pentas untuk melangkah lebih jauh dan melebarkan sayap hingga ke peringkat global.
Beliau berkata bagi memastikan IKONDESA menjadi platform yang mampu bertahan lama dan sebagai legasi kebanggaan desa Malaysia, beberapa langkah perlu dilaksanakan.
Ia merangkumi tiga perkara iaitu pemantapan digitalisasi dan e-dagang, pengukuhan jenama dan pensijilan serta pemerkasaan latihan dan bimbingan.
"Produk IKONDESA tidak boleh hanya terhenti di rak fizikal. Ia mesti dibawa ke pasaran digital, menembusi platform e-dagang utama dan sampai ke tangan pembeli di seluruh dunia.
"Produk desa juga mesti dikenali kerana kualitinya, dipercayai kerana pensijilannya, dan disukai kerana keunikannya. Sama ada sijil halal, pengiktirafan kraf, atau piawaian makanan, semuanya akan diperkuat bagi menjamin keyakinan pengguna.
"IKONDESA tidak boleh sekadar menjadi ruang niaga. Ia mesti menjadi pusat pembangunan usahawan, dengan bimbingan, klinik perniagaan, dan bimbingan berterusan dalam pemasaran, penjenamaan, dan pengurusan kewangan di setiap lokasi," katanya.
Mengenai IKONDESA@Putrajaya yang merupakan pusat jualan pertama beroperasi di bawah inisiatif itu, Ahmad Zahid berkata beliau yakin ia akan muncul sebagai mercu tanda baharu, bukan sekadar tempat membeli produk, tetapi pentas untuk merasai budaya, warisan dan kreativiti anak desa.
"Setiap bulan, tema negeri-negeri akan dipamerkan, bermula dengan Perak pada bulan ini. Ertinya, setiap bulan kita bertukar negeri dan bertukar produk serta bertukar usahawan yang mempamerkan produk-produk mereka khususnya kraf tangan.
"IKONDESA@Putrajaya menampilkan tiga kluster utama iaitu kraf tangan, gaya hidup serta makanan dan minuman di ruang eksklusif, di tengah-tengah jantung pentadbiran negara," katanya.
Mengadaptasi konsep jualan hibrid, IKONDESA@Putrajaya menggabungkan suasana elemen kafe mini dengan pameran produk desa eksklusif meliputi seni kraf tangan, tekstil makanan serta minuman.
Perkhidmatan tempahan khas seperti cenderamata korporat dan kraf tangan secara pukal turut ditawarkan bagi memenuhi permintaan individu, syarikat swasta, institusi dan agensi kerajaan.
Pada fasa awal, sebanyak 30 usahawan desa telah ditempatkan di pusat ini. Sepanjang September hingga Disember 2025, empat siri promosi bertema negeri akan dianjurkan bagi memperkukuh jenama produk desa di pasaran dan menarik lebih ramai pelanggan.
Bagi memastikan kecekapan pengurusan yang teratur dan sistematik, RISDA Agri Food Industries Sdn Bhd (RAFI) dilantik sebagai operator rasmi IKONDESA@Putrajaya, merangkumi aspek pentadbiran, promosi serta pembangunan keusahawanan, pemasaran serta pengurusan usahawan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial