Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ANGKASA Perkukuh Jaringan Koperasi Serantau Menerusi Latihan Antarabangsa

25/09/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengukuhkan jaringan koperasi serantau melalui penganjuran siri kedua Latihan Koperasi Antarabangsa yang bermula dari 23 Sept hingga esok.

Program itu menghimpunkan 36 perwakilan daripada kementerian dan agensi serta pemimpin koperasi dari rantau Asia Pasifik termasuk Palestin, Filipina, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Presiden ANGKASA yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata penganjuran itu menjadi bukti kesungguhan pihaknya dalam memperkukuh solidariti koperasi serantau selepas kejayaan siri pertama yang diadakan pada 2023, dengan penyertaan negara seperti Filipina, Kemboja dan Nigeria.

Ad Banner

“Siri latihan kali ini dirangka dengan objektif untuk menyebarkan serta memperkukuhkan identiti koperasi yang berteraskan pentadbiran dan pembangunan mampan, dengan menekankan nilai demokrasi, kesaksamaan, solidariti serta kepedulian kepada komuniti," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata menerusi perkongsian kejayaan dan pertukaran pengalaman pelbagai koperasi seperti kariah masjid, sektor pertanian dan perladangan serta sekolah sempena latihan itu, ia bakal membuka ruang kepada inovasi baharu dalam pembinaan keyakinan dalam kalangan peserta.

Abdul Fattah berkata latihan itu juga memberi peluang kepada wakil koperasi mempelajari secara mendalam modus operandi ANGKASA, termasuk Sistem Pengurusan Berkomputer ANGKASA (SPBA), Sistem Potongan Gaji ANGKASA (e-SPGA), Koperasi Sekolah, Koperasi Kariah Masjid, Yayasan Infaq ANGKASA, Kewangan Islam, Pematuhan Syariah serta Konsep Jati Diri Koperasi.

Beliau berkata peserta yang mengikuti program itu juga berpeluang melawat Masjid Al-Hasanah Bangi Berhad, Koperasi Bersatu Maju Hulu Chuchoh (KOBEMAH) dan koperasi dalam bidang pertanian.

Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata ANGKASA optimis semangat kerjasama menerusi latihan antarabangsa itu akan diteruskan untuk mengukuhkan jati diri koperasi, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pelapis pemimpin koperasi yang profesional.

Turut hadir Timbalan Presiden ANGKASA Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, dua Naib Presidennya Datuk Mohamad Ali Hasan dan Datuk Kamarudin Ismail, yang juga Ahli Lembaga ICA.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan