Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JAKIM, JAWI Diarah Selaras Solat Hajat Esok Untuk Keselamatan Misi Global Sumud Flotilla

25/09/2025 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah menyelaras pelaksanaan solat hajat di semua masjid utama dan surau di Wilayah Persekutuan selepas solat Jumaat esok, untuk keselamatan Misi Global Sumud Flotilla.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pelaksanaan solat hajat itu bagi menyatakan solidariti serta memohon pertolongan daripada Allah SWT agar keselamatan sukarelawan dan kelancaran misi berkenaan sentiasa dipelihara.

“Seperti dimaklumkan media berkaitan perkembangan terkini yang kita terima amat membimbangkan. Kapal-kapal Misi Global (Sumud) Flotilla dilaporkan menghadapi pelbagai gangguan dan ancaman ketika semakin hampir dengan zon kritikal, ini termasuk letupan, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi.

Ad Banner

“Marilah kita bersama-sama menadahkan tangan ke hadrat Allah SWT agar misi kemanusiaan ini dipermudah, para sukarelawan diberikan perlindungan dan kekuatan serta doa kita menjadi sumber kekuatan kepada rakyat Palestin yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap semoga Malaysia sentiasa diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada usaha kemanusiaan sejagat dan doa semua menjadi asbab kejayaan misi itu.

Semalam, konvoi Global Sumud Flotilla berdepan detik mencemaskan apabila diintimidasi oleh dron rejim Israel yang turut melakukan letupan di udara.

Ketua Pengarah merangkap jurucakap rasmi Sumud Nusantara Flotilla Command Cente Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery dilaporkan berkata flotila itu berdepan cubaan intimidasi oleh 15 dron Israel yang berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit.

Pelayaran Global Sumud Flotilla merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 delegasi Malaysia yang menaiki hampir 70 bot dengan matlamat memecah kepungan terhadap Gaza.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan