IPOH, 25 Sept (Bernama) -- PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) Sarawak Oil Limited bersama Yayasan Universiti Teknologi PETRONAS (Yayasan UTP) memeterai perjanjian biasiswa sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan.
Menurut kenyataan Yayasan UTP, inisiatif itu mencerminkan kerjasama awam-swasta yang penting bagi menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar berpotensi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi di UTP, sekali gus melahirkan bakat baharu untuk sektor tenaga negara.
Menerusi kerjasama itu, PTTEP akan menanggung sepenuhnya kos pengajian pelajar terpilih termasuk yuran, elaun sara hidup dan penginapan sepanjang tempoh mereka di UTP.
“Inisiatif ini bertujuan melahirkan profesional yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, sekali gus mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan tenaga negara serta bersaing dalam ekonomi global yang semakin mencabar. Kerjasama ini turut mencerminkan usaha bersama untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya bagi pelajar yang menepati kriteria program.
“Dengan mengurangkan beban kewangan, program ini diyakini mampu menyerlahkan potensi akademik bakat muda, membolehkan mereka menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan kokurikulum,” menurut kenyataan itu hari ini.
Setiausaha Agung Yayasan UTP Ratna Mohd Tawil berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan khususnya bagi pelajar berpotensi yang berdepan cabaran melanjutkan pengajian.
“Peranan kami adalah menyediakan peluang yang mampu memberi perubahan besar dalam kehidupan mereka serta membekalkan ilmu dan kemahiran untuk menjadi pemimpin masa depan industri.
“Pendekatan Nuture & Development dalam program ini memastikan para penerima bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi turut diperkasakan dengan kemahiran insaniah penting bagi membentuk individu yang yakin, seimbang dan bersedia menghadapi dunia yang semakin kompleks,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aset Brownfield PTTEP Malaysia Al Ashraf Zarif Al Bakrishared berkata perjanjian biasiswa itu selari dengan penekanan syarikat pembangunan mampan di komuniti tempat mereka beroperasi, dengan pendidikan sebagai tonggak utama.
Beliau berkata kerjasama itu melambangkan komitmen PTTEP dalam membangunkan kapasiti serta menyokong pembangunan tenaga kerja kejuruteraan berkemahiran untuk industri tenaga kerja.
“Kami percaya kepada pelaburan bakat tempatan. Dengan menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti serta laluan kerjaya yang jelas, kami dapat menyokong pertumbuhan mapan komuniti dan negara,” katanya.
Program biasiswa itu bukan sahaja menjelmakan visi Yayasan UTP untuk melahirkan bakat tenaga lestari, malah mengukuhkan komitmen PTTEP terhadap pendidikan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.
Kerjasama ini juga menyaksikan kumpulan pertama penerima biasiswa memulakan pengajian pada pengambilan akan datang sekali gus membuka laluan kepada lahirnya pemimpin masa depan dalam sektor tenaga negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial