SANDAKAN, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses perolehan aset pertahanan negara perlu dilaksanakan secara telus, bijak serta mengikut keutamaan dan keperluan sebenar.
Beliau berkata, turutan keutamaan dalam setiap perolehan mesti ditentukan berdasarkan keperluan semasa serta kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan bukannya diputuskan oleh ejen atau syarikat luar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan yang tidak berpaksikan keperluan dan kepakaran sebelum ini telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk skandal besar perolehan kapal serta kelewatan projek pembinaan.
“Sistem perolehan ini mesti diperbetulkan. Bukan saya yang menentukan apa yang perlu dibeli, itu bidang kepakaran ATM. Namun, keutamaan perolehan mesti berdasarkan keperluan dan kepakaran, bukan ditentukan ejen, syarikat luar atau orang politik.
“Peruntukan tahun ini untuk Kementerian Pertahanan adalah yang tertinggi. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab memastikan perbelanjaan dibuat dengan telus, berhemah dan penuh tanggungjawab, kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Markas Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.
Perdana Menteri menegaskan amalan ‘menyakau’ dana perlu dihentikan, manakala pengurusan kewangan mesti dilaksanakan secara berhemah.
Beliau berkata, dalam soal keselamatan negara, tiada kompromi boleh dibuat dan kesiapsiagaan aset pertahanan perlu sentiasa berada pada tahap optimum.
“Kita mahu ATM kuat, dengan kapal baharu dan pesawat baharu. Saya tekankan ini bukan untuk berperang, tetapi bagi menjamin keselamatan negara. Demi usaha perdamaian, jika berlaku ketegangan, kita boleh segera bertindak, seperti yang terbukti menerusi kebijaksanaan ketenteraan kita dalam isu Thailand-Kemboja,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha memartabatkan dan menghargai bidang pertahanan negara termasuk kebajikan anggota keselamatan.
Beliau menambah, sejak pentadbiran Kerajaan MADANI, gaji penjawat awam berjaya dinaikkan dengan golongan pelaksana menerima kenaikan sehingga 15 peratus selepas hampir sedekad tiada semakan kadar gaji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial