DUNIA > BERITA

IPC Tarik Balik Penggantungan Separa Rusia, Belarus

27/09/2025 09:53 PM

BEIJING, 27 Sept (Bernama-Xinhua) -- Perhimpunan Agung Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pada Sabtu mengundi untuk mengembalikan sepenuhnya hak keanggotaan Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) Belarus dan Rusia, lapor Xinhua.

Keputusan pada Perhimpunan Agung IPC 2025 di Seoul, Korea Selatan itu mengembalikan NPC Belarus dan NPC Rusia kepada hak dan keistimewaan penuh sebagai anggota IPC, selepas kedua-duanya digantung sebahagian pada perhimpunan 2023 kerana melanggar kewajipan keanggotaan yang termaktub dalam perlembagaan.

Perhimpunan Agung IPC, yang dianggotai Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan, Persekutuan Antarabangsa dan Pertubuhan Sukan Antarabangsa untuk Orang Kurang Upaya, terlebih dahulu menolak usul untuk menggantung sepenuhnya NPC Rusia dengan undian 111 menentang, 55 menyokong dan 11 berkecuali. Usul susulan untuk menggantung sebahagian NPC Rusia juga ditolak dengan 91 undi menentang, 77 menyokong dan lapan berkecuali.

Bagi NPC Belarus, perhimpunan itu turut menolak kedua-dua usul; penggantungan penuh dengan undian 119 menentang, 48 menyokong dan sembilan berkecuali, serta penggantungan separa dengan 103 undi menentang, 63 menyokong dan 10 berkecuali.

Bagi sesuatu usul diluluskan, ia memerlukan majoriti mudah iaitu 50 peratus ditambah satu daripada jumlah undi yang diterima.

IPC dalam kenyataannya berkata pihaknya akan menyelaras dengan kedua-dua anggota berkenaan untuk melaksanakan pengaturan praktikal bagi pemulihan hak keanggotaan secepat mungkin.

--BERNAMA-XINHUA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan