Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RM67.62 Juta Untuk BMT 2025 Pekebun Kecil Sabah - Ahmad Zahid

27/09/2025 03:31 PM

KOTA BELUD, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67.62 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Sabah 2025, yang bakal memberi manfaat kepada 84,534 pekebun kecil dan penoreh getah di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, 3,746 penerima adalah di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), manakala 80,788 lagi melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Beliau berkata setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM800 seorang yang dibayar secara berperingkat bermula November 2025, bagi meringankan beban kehilangan pendapatan sepanjang musim tengkujuh.

Ad Banner

“Sejak diperkenalkan pada 2018, BMT menjadi wadah penting kerajaan mempergiat bantuan kepada masyarakat desa agar seluruh warga luar bandar menikmati limpahan hasil pembangunan negara yang inklusif dan adil,” katanya ketika berucap merasmikan RISDA MADANI (PRISMA) Sabah 2025 di Padang Pekan Kota Belud, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan turut memperuntukkan RM44.42 juta tahun ini khusus bagi pembangunan lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah.

“Ia bukan sekadar angka, tetapi amanah untuk membina masa depan komuniti pekebun kecil di negeri ini. Peruntukan ini bukti nyata keprihatinan kerajaan dalam membangunkan komuniti pekebun kecil getah.

“LIGS sebagai rakan strategik RISDA membolehkan pembangunan sosioekonomi pekebun kecil dilaksana dengan lebih strategik, berfokus dan mampan,” katanya.

Mengulas mengenai PRISMA, beliau berkata ia mencerminkan usaha murni RISDA memastikan setiap inisiatif sistem perkhidmatannya sampai secara langsung dan meluas kepada rakyat.

“Seperti yang saya sering tekankan, inisiatif seperti peningkatan produktiviti getah, peluasan penjualan kayu getah terawat, pemerkasaan syarikat RISDA serta peluasan hab pemasaran produk usahawan melalui rangkaian RisSMart mesti dilaksanakan secara sistematik, strategik dan inklusif,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap PRISMA tidak dilihat hanya sebagai program tahunan semata-mata, sebaliknya menjadi platform pemerkasaan usahawan desa Sabah untuk memperluas pasaran, meningkatkan daya saing produk dan membina ekonomi tempatan yang mapan.

Pada majlis itu, RISDA melancarkan logo baharu yang melambangkan aspirasi transformasi agensi tersebut selepas lebih lima dekad beroperasi, sekali gus menjadi simbol identiti moden yang berdaya saing serta mencerminkan iltizam memacu transformasi sektor komoditi.

Sebagai tanda keprihatinan, RISDA juga menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan RISDA bernilai RM73,000 kepada 600 penerima yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan