Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hubungan Kejiranan Asas Keharmonian Sambutan Krismas Di Kelantan

25/12/2025 11:18 AM

KOTA BHARU, 25 Dis (Bernama) -- Tanpa pesta besar-besaran atau hiasan berlebihan, sambutan Krismas di Kelantan diraikan dalam suasana sederhana dengan mengutamakan keharmonian hidup berjiran serta saling menghormati tanpa mengira kaum mahupun agama.

Di sebalik status minoriti, penganut Kristian di Kelantan terus menjalani kehidupan seharian dengan aman dan selesa, diterima sebagai sebahagian daripada komuniti setempat serta menikmati kebebasan beragama yang terpelihara sejak sekian lama.

Seorang penganut Kristian, Andrew Yeap, 47, berkata hubungan baik dengan jiran tetangga daripada pelbagai latar belakang menjadi asas utama keharmonian sambutan Krismas di negeri ini.

“Walaupun kami minoriti, kebebasan beragama tetap terpelihara. Hubungan dengan masyarakat setempat juga sangat baik dan saling menghormati walaupun berbeza kepercayaan,” katanya kepada Bernama di First Assembly Church di sini.

Andrew yang juga setiausaha gereja berkenaan berkata suasana harmoni itu telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti Kristian di Kelantan dan tidak pernah terganggu oleh sebarang ketegangan kaum atau agama.

Beliau berkata seperti kebiasaan sambutan Krismas dimulakan dengan menghadiri upacara agama di gereja yang diserikan dengan doa serta nyanyian lagu-lagu Krismas sebelum meneruskan sambutan secara sederhana bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Selepas itu, kami pulang ke kediaman masing-masing untuk meraikan Krismas dengan juadah istimewa termasuk ayam belanda panggang, sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Andrew berkata antara amalan tradisi yang terus dipertahankan ialah pemberian hadiah khususnya kepada kanak-kanak, selain menghiasi kediaman dengan perhiasan seperti pokok Krismas dan lampu berwarna-warni bagi memeriahkan suasana perayaan.

Bagi Peggy Lua, 65, yang telah menetap lebih 40 tahun di Kelantan berkata keharmonian sebenar diterjemahkan melalui hubungan kejiranan yang saling memahami dan menghormati.

Beliau berkata walaupun sambutan Krismas di negeri ini tidak semeriah di ibu kota, suasana aman dan selamat tetap dirasai setiap tahun hasil hubungan baik antara penduduk pelbagai agama.

“Sejak menetap di Kelantan, saya dan suami James Wong, 71, tidak pernah berdepan sebarang isu berkaitan kebebasan beragama. Hubungan dengan jiran tetangga juga sentiasa terpelihara dan saling menghormati,” katanya.

Peggy berkata kesederhanaan sambutan tidak menjejaskan makna Krismas, sebaliknya memberi ruang kepada komuniti Kristian untuk meraikannya dengan penuh kesyukuran dalam suasana aman.

“Bagi kami, yang paling penting adalah keamanan dan keharmonian dalam kehidupan seharian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan