Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anwar Ucap Selamat Hari Lahir Kepada Presiden Timor-Leste Ramos-Horta

26/12/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta yang genap berusia 76 tahun.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar menzahirkan harapan agar tahun mendatang membawa kesihatan yang baik, kejayaan serta kebijaksanaan dalam kepimpinan kepada Ramos-Horta.

“Selamat hari lahir kepada sahabat saya, Presiden Dr Jose Ramos-Horta dari Timor-Leste. Malaysia amat menghargai persahabatan erat serta kerjasama strategik dengan negara itu, khususnya dalam memperkukuh hubungan dalam ASEAN,” menurut hantaran berkenaan.

Perdana Menteri turut berharap hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste akan terus berkembang demi kesejahteraan kedua-dua negara serta menyumbang secara positif kepada kemakmuran serantau.

Ramos-Horta, yang dilahirkan pada 26 Dis 1949 di Dili, merupakan penerima Hadiah Keamanan Nobel dan memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan serta pembinaan negara Timor-Leste.

Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di bawah Kepengerusian Malaysia pada Oktober lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan