Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pertubuhan Kraf Malaysia Dilantik Anggota Badan Penilai UNESCO

30/12/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) mencatat sejarah apabila dipilih menganggotai Badan Penilai di bawah Konvensyen Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2003 bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara bagi tempoh 2026-2029.

MCC memenangi undian pada Sesi ke-20 Jawatankuasa Antara Kerajaan yang berlangsung di New Delhi, India baru-baru ini.

Presiden MCC Nik Faiz Nik Amin berkata pelantikan itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan Malaysia dalam usaha memelihara dan memperkasa warisan budaya tidak ketara.

“Oleh itu, setiap penglibatan MCC akan dilaksanakan secara telus dan berlandaskan garis panduan yang ditetapkan di bawah Konvensyen UNESCO 2003. Peranan ini (akan) dilaksanakan secara bebas dan profesional, selaras dengan prinsip ketelusan, keadilan serta integriti yang digariskan oleh UNESCO.

“MCC komited untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah serta terus menyumbang kepada usaha global dalam memastikan pemeliharaan dan kelangsungan warisan budaya tidak ketara untuk generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nik Faiz berkata penyertaan MCC dalam badan penilaian itu juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong perlindungan warisan budaya tidak ketara dunia berasaskan komuniti dan kelestarian, sejajar pendekatan UNESCO yang menekankan kepentingan warisan sebagai amalan budaya yang terus hidup serta berkembang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan