Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Fokus Pelancongan Kapal Persiaran Nilai Tinggi, Manfaat Peluasan GSPC

03/01/2026 03:38 PM

GEORGE TOWN, 3 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang memfokuskan pendekatan high-value cruise tourism yang menekankan kualiti perbelanjaan dan penglibatan pelancong di darat, sejajar dengan peluasan skop Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) kepada sektor kapal persiaran bagi memaksimumkan limpahan ekonomi kepada negeri.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata melalui kerjasama strategik dengan operator kapal persiaran, pakej lawatan merangkumi bandar warisan, produk budaya, gastronomi dan perniagaan tempatan akan diperkasakan supaya manfaat ekonomi disalurkan terus kepada rakyat.

“Fokus (negeri) bukan hanya kepada jumlah ketibaan tetapi kadar penurunan penumpang dan tempoh berada di darat serta tahap perbelanjaan.

“Pelancong kapal persiaran hanya turun beberapa jam di darat dan tidak bermalam di hotel di Pulau Pinang. Justeru kerajaan negeri telah membina semula Astaka Kota Selera di Fort Cornwalis dan naik taraf Parit Fort Cornwalis untuk kunjungan pelancong kapal persiaran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wong berkata kerajaan negeri menggalakkan operator pelancongan dan pengendali kapal persiaran menggunakan perkhidmatan tempatan seperti pemandu pelancong berlesen, pengangkutan tempatan, pengusaha makanan, peniaga kecil dan produk komuniti.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) untuk mempromosikan insentif GSPC kepada pengusaha kapal persiaran, operator dan ejen antarabangsa.

Usaha itu termasuk sesi libat urus, memudah cara proses permohonan dan mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pelabuhan persinggahan utama di rantau ini.

Wong turut memberi jaminan SPCT dengan infrastruktur sokongan sedia ada berkeupayaan untuk menampung peningkatan ketibaan pelancong kapal persiaran.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri bersama-sama pihak pelabuhan dan agensi berkaitan juga melaksanakan penambahbaikan berterusan dari segi kecekapan operasi, aliran penumpang dan kesalinghubungan pengangkutan bagi memastikan perjalanan pelancong lancar dan selesa.

Berhubung Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Wong berkata Pulau Pinang menyasarkan sumbangan ekonomi dari segmen pelancongan kapal persiaran melalui perbelanjaan di darat merangkumi makanan, lawatan, pengangkutan, beli-belah dan produk pelancongan.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada angka spesifik perbelanjaan ditetapkan buat masa ini, sebaliknya fokus diberikan untuk menarik kedatangan kapal persiaran berskala besar dan penumpang berpendapatan sederhana hingga tinggi.

Dalam pada itu, Wong berkata kerajaan negeri komited memastikan promosi gastronomi Pulau Pinang kekal autentik dengan mengutamakan peniaga tempatan, makanan warisan dan resipi tradisional.

“Penekanan diberikan kepada identiti makanan Pulau Pinang yang tulen supaya pelancong kapal persiaran dapat menikmati pengalaman gastronomi yang mencerminkan budaya dan keunikan sebenar negeri ini,” katanya.

Rabu lepas, Tourism Malaysia mengumumkan akan memperluas skop GSPC bagi merangkumi sektor kapal persiaran bermula tahun ini sebagai langkah strategik menggalakkan lebih banyak ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini melalui laluan laut.

Sebelum ini, geran padanan itu hanya memfokuskan syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa bagi menggalakkan peluasan laluan penerbangan baharu dan carter ke Malaysia, namun potensi besar industri kapal persiaran mendorong kerajaan memperluas insentif itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan