Ad Banner
 AM > BERITA

UDA Perkukuh Sokongan Visit Johor 2026, Lebih 2,000 Peserta Meriahkan Night Run, Midnight Sales

04/01/2026 10:31 AM

JOHOR BAHRU, 4 Jan (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) memperkukuh sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Johor 2026 (Visit Johor 2026) menerusi penganjuran UDA Night Run & Midnight Sales di Angsana Johor Bahru Mall (AJBM), malam tadi.

Acara yang dianjurkan melalui anak syarikat UDA Angsana Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd itu berjaya menarik lebih 2,000 peserta serta pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Penganjuran acara ini mencerminkan usaha UDA memperkasakan peranan premis komersial sebagai hab komuniti, meneruskan aktiviti promosi hartanah yang boleh dimiliki, serta merapatkan hubungan komuniti sambil menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Johor.

Program yang berlangsung buat julung-julung kalinya di AJBM dari 7.30 malam hingga 1 pagi itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk larian malam, jualan tengah malam, promosi hartanah UDA, persembahan hiburan oleh One Avenue Band dan Rahmad Mega serta cabutan bertuah.

Gimik pelepasan peserta larian UDA Night Run melibatkan laluan sejauh lima kilometer di sekitar Bandar Baru UDA disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi, UDA Land South Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki; Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim; Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta, UDA Holdings Berhad, Mohd Nazri Jamiran dan Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn. Bhd. Imran Salleh.

Hadir sama menyempurnakan gimik pelepasan ialah Pengarah Bank Simpanan Nasional Negeri Johor Mohamad Zulkarnain Ismail, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan Awang Shawal Awang Sulaiman, dan Pengarah Majestic Johor Jeffri Munir. Kesemua wakil rasmi turut terlibat dalam pelepasan bas UDA Southern Region x Visit Johor 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA, Azrudyn Rashid, berkata penganjuran program itu selari dengan komitmen syarikat membangunkan bandar inklusif dan berdaya huni, selain memastikan premis komersial sedia ada dan akan datang kekal relevan, aktif dan memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.

“UDA bukan sekadar membangunkan hartanah fizikal, sebaliknya berperanan membina bandar yang hidup dan berdaya saing, dan UDA Night Run & Midnight Sales adalah antara platform baharu dalam menyokong Visit Johor 2026 melalui penglibatan komuniti serta merancakkan pusat beli-belah secara berimpak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program ini turut berfungsi sebagai medium memperkukuh kewujudan jenama UDA yang telah bertapak 50 tahun di selatan tanah air, selain memperkenalkan peranan dan sumbangan syarikat dalam pembangunan bandar.

Dalam usaha memperluas pendedahan pemilikan hartanah, UDA Land (South) Sdn Bhd membuka pameran dan jualan hartanah sepanjang Midnight Sales bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat terkini berkaitan projek pembangunan UDA di Johor.

Antara projek semasa yang diketengahkan ialah UDA Heights di Bandar UDA Utama yang menawarkan kediaman rumah berkembar dan banglo dua tingkat, serta Sedili Residensi di Taman Sedili, Kota Tinggi yang menampilkan rumah teres satu tingkat mampu milik.

Turut dipromosikan ialah projek baharu yang dijadualkan dilancarkan pada 2026 dan 2027, termasuk rumah teres dua tingkat di UDA Enclave, Residensi Monstera yang menawarkan rumah bandar dua dan tiga tingkat di Bandar UDA Utama, serta Ebony, pangsapuri servis setinggi 34 tingkat di Bandar Baru UDA.

Sebagai insentif khas sempena Midnight Sales, lima tempahan hartanah terawal berpeluang menerima promosi eksklusif berupa kad hadiah IKEA bernilai RM2,000.

AJBM juga merancang beberapa program komuniti lain dalam tempoh terdekat, termasuk Karnival BSN SSP dari 30 Dis 2025 hingga 4 Jan 2026, Promosi Pra-Ramadan bermula 14 Januari, dan Karnival Aidilfitri dari 5 Februari hingga malam raya.

Ditubuhkan pada 1971 sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, UDA kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.uda.com.my atau mengikuti Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Berhad).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan