AM > BERITA

Tiada Penalti Bagi Pembayar Cukai Individu Yang Terima CP500 Tahun Ini - LHDN

05/01/2026 06:17 PM

CYBERJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak akan dikenakan penalti pada tahun ini, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan susulan lanjutan persetujuan pihak kerajaan untuk memberikan tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan juga bukan penggajian seperti sewa, faedah dan royalti bagi pematuhan CP500 untuk Tahun Taksiran (TT) 2026.

“Dalam tempoh peralihan ini, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500 tersebut. Bagaimanapun, pembayar cukai digalakkan membuat bayaran ansuran CP500 secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban bayaran baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan tiada keperluan untuk pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan penggajian sahaja untuk mematuhi arahan bayaran ansuran berkenaan, namun mereka dinasihatkan mengemas kini pelaporan penerimaan pendapatan dalam BNCP bagi TT 2025 untuk mengelakkan penerimaan arahan bayaran ansuran CP500 pada masa hadapan.

Bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi TT 2026, pembayar cukai boleh membuat pindaan kali pertama tidak lewat daripada 30 Jun dan pindaan kali kedua tidak lewat daripada 31 Okt.

“LHDN menyarankan pembayar cukai melaporkan pendapatan dalam BNCP dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur. 

“Pihak kami juga akan menghubungi pembayar cukai yang terlibat untuk menjelaskan sebarang kesilapan pelaporan pendapatan dalam BNCP yang telah dikemukakan oleh pembayar cukai sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan