MELAKA, 10 Jan (Bernama) -- Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya membelanjakan lebih RM600,000 bagi perkara berkaitan pendidikan di kawasan berkenaan pada tahun lepas.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata antaranya merangkumi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran sekolah dan komputer riba bagi murid dan pelajar kurang berkemampuan.
"Di Parlimen Hang Tuah Jaya ini kita memang beri tumpuan kepada usaha mendukung agenda pendidikan.
"Jadi saya harap usaha ini dapat terus diberi sokongan oleh semua pihak bagi memastikan anak-anak di Parlimen Hang Tuah Jaya mendapat pendidikan lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Selamat Kembali ke Sekolah bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Pada program berkenaan, 500 orang menerima sumbangan baucar wang tunai dan beg sekolah bagi membeli kelengkapan persekolahan mereka.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata pada tahun ini beliau akan memberi tumpuan kepada sektor kritikal membabitkan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan infrastruktur.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan pelbagai pihak akan diperhebat supaya usaha membantu golongan memerlukan di Parlimen Hang Tuah Jaya boleh dilipat ganda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial