AM > BERITA

Insiden Lombong Pasir: Pakar Cadang Pengorekan Pulihkan Sungai Sayong Pinang

11/01/2026 02:05 PM

JOHOR BAHRU, 11 Jan (Bernama) -- Kerja pengorekan dicadangkan sebagai antara alternatif bagi mengatasi masalah mendapan di Sungai Sayong Pinang susulan insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi Oktober lepas.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata keadaan sungai itu yang semakin cetek disebabkan kelodak daripada aktiviti perlombongan memasuki kawasan sungai dalam kuantiti yang banyak sehingga terbentuknya mendapan tebal.

“Pengorekan bukan penyelesaian tunggal, tetapi ia boleh menjadi sebahagian daripada pelan pemulihan terutamanya untuk mengembalikan kedalaman sungai, mengurangkan risiko cetek berulang dan memulihkan fungsi ekologi,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata kerja pengorekan bagaimanapun perlu dilakukan secara bersasar dan terkawal, disertai pelan pengurusan sedimen yang ketat supaya tidak mencetuskan lonjakan kekeruhan baharu.

Insiden pencemaran berkenaan yang berlaku pada 31 Okt lepas adalah paling buruk direkodkan membabitkan sumber bekalan air di Johor dengan menjejaskan lebih 292,000 akaun termasuk di kawasan Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.

Situasi itu sebelum ini menyebabkan lebih satu tan ikan seperti baung, lampam serta jelawat mati dan terapung di sungai berkenaan, sekali gus menyebabkan kira-kira 150 nelayan kehilangan mata pencarian. 

Semalam, nelayan di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi mengeluh berikutan pendapatan dan hasil tangkapan sungai semakin merosot, selain kesal dengan keadaan Sungai Sayong Pinang berhampiran kampung mereka yang semakin cetek hingga hanya paras paha.

Keadaan itu memaksa nelayan tempatan mengubah haluan menangkap ikan dengan bergerak antara dua sungai utama, iaitu Sungai Linggiu dan kawasan hulu sungai yang mengambil masa dua hingga tiga jam perjalanan, sementara menunggu sungai Sayong Pinang pulih.

Mohd Fadhil berkata lonjakan kekeruhan Sungai Johor sehingga mencecah 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU), hampir 94 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal pada Oktober lepas, bukan sahaja menjejaskan bekalan air dan menyebabkan kematian ikan, malah akan meninggalkan mendapan kelodak yang berpanjangan di dasar sungai.  

Beliau berkata walaupun kadar kekeruhan sungai boleh turun dalam tempoh beberapa hari selepas pencemaran dihentikan dan pencairan dari Empangan Linggiu dibuat, namun sedimen halus yang telah mendap tidak akan hilang dalam masa singkat.

“Kelodak ini biasanya mendap di kawasan cetek, sangkar ikan dan dasar sungai yang berarus perlahan. Ia tidak ‘lenyap’ sendiri. Tanpa aliran besar atau intervensi fizikal, ia boleh kekal berminggu hingga berbulan,” katanya.

Beliau berkata mendapan berterusan akan menyebabkan sungai menjadi semakin cetek, sekali gus meningkatkan risiko banjir setempat, mengganggu navigasi bot kecil, serta menjejaskan habitat ikan dan sumber rezeki nelayan sungai.

“Bila lapisan kelodak menutup dasar, kawasan pembiakan ikan akan hilang, populasi hidupan dasar merosot dan spesies sensitif akan beralih ke hulu. Ini memberi kesan langsung kepada nelayan sangkar dan komuniti Orang Asli yang bergantung kepada sungai,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan