AM > BERITA

Pindaan Akta OKU 2008 Dibentang Pada Mesyuarat Pertama Parlimen 2026

12/01/2026 12:30 PM

GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama persidangan Dewan Rakyat tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata penambahanbaikan itu bertujuan memperkukuh perlindungan, akses dan penyertaan komuniti OKU secara lebih menyeluruh serta bermakna.

"Melalui pelbagai inisiatif termasuk program sokongan dan bantuan peralatan akan memastikan kanak-kanak dan golongan OKU mendapat penjagaan, pendidikan serta peluang untuk berkembang dalam masyarakat dan sehingga kini terdapat  821,374 OKU berdaftar di seluruh negara," katanya kepada Bernama selepas melawat Persatuan Cerebral Palsy Pulau Pinang, di sini hari ini.

Ad Banner

Pada majlis itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyampaikan sumbangan RM50,000 bagi menyokong usaha berterusan persatuan itu memperkukuh program sedia ada, meningkatkan kualiti penjagaan dan terus menyokong kanak-kanak serta keluarga yang bergantung pada pusat kendalian persatuan itu.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya berkata pelbagai langkah sokongan terus diperkukuh, malah menerusi Belanjawan 2026, pelepasan cukai untuk ibu bapa kepada anak kurang upaya meliputi saringan, intervensi awal dan pemulihan berterusan telah ditingkatkan daripada RM6,000 kepada RM10,000. 

Beliau berkata selain itu, sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan khusus bagi menyokong golongan OKU, termasuk mereka yang terlantar dan tidak berupaya bekerja.

Menurut Lim, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), OKU juga boleh memohon bantuan bagi peralatan sokongan dan prostetik seperti kerusi roda, pendakap serta peralatan penting lain yang dapat meningkatkan mobiliti harian.

Beliau berkata kerajaan juga amat menghargai peranan penting yang dimainkan oleh pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan seperti Persatuan Cerebral Palsy Pulau Pinang kerana usaha yang dijalankan itu melengkapi perkhidmatan awam dan memastikan dasar yang digubal dapat diterjemahkan kepada sokongan yang benar-benar dirasai oleh keluarga di peringkat akar umbi.

"Selama 64 tahun, pusat itu telah berdiri teguh bersama kanak-kanak dan keluarga melalui pelbagai cabaran kehidupan, tempoh yang panjang tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya mencerminkan kepercayaan masyarakat, dedikasi kakitangan dan sukarelawan, " katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan