AM > BERITA

Feri Lama Pulau Pinang Tidak Akan Kembali Beroperasi, Kekal Sebagai Tarikan Pelancong - Loke

12/01/2026 05:43 PM

GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Tiada sebarang rancangan untuk mengembalikan semula perkhidmatan feri penumpang ikonik Pulau Pinang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata pengoperasian semula feri lama akan berdepan cabaran teknikal berikutan kesukaran untuk mendapatkan alat ganti dan tidak bersesuaian dengan terminal feri yang baharu.

“Apabila keputusan dibuat sebelum ini untuk beralih kepada feri baharu, terminal juga telah diubah suai, menjadikan terminal sedia ada tidak sesuai untuk feri lama kerana operasinya berbeza sama sekali.

Ad Banner

“Jadi, untuk kita menghidupkan semula perkhidmatan feri lama yang ikonik itu, kita perlu membina satu lagi terminal, sesuatu yang mustahil dilakukan pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzium Feri Pulau Pinang di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Loke berkata bagi memelihara warisan tersebut, sebuah feri ikonik telah diubah suai menjadi muzium manakala sebuah lagi diubah menjadi restoran terapung, kedua-duanya akan kekal sebagai produk tarikan pelancong dan tidak akan kembali beroperasi sebagai perkhidmatan penumpang.

Loke turut memaklumkan perkhidmatan feri penumpang sedia ada kini mengendalikan empat feri, yang boleh ditingkatkan kepada maksimum lima seperti termaktub dalam kontrak sekiranya permintaan meningkat.

Mengenai keuntungan, beliau menjelaskan perkhidmatan feri Pulau Pinang tidak berorentasikan keuntungan kerana kadar tambang dikawal selia oleh kerajaan.  

Beliau menegaskan operasi feri tersebut dilaksanakan menerusi model subsidi silang di bawah rancangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang, sekali gus mewajibkan pematuhan terhadap tanggungjawab perkhidmatan awam, termasuk 12 hari perkhidmatan feri percuma setiap tahun sempena cuti umum dan musim perayaan.

Loke turut menyentuh mengenai rancangan pembangunan semula Tanjung City Marina dan kawasan sekitarnya, termasuk Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) dan Padang Kota Lama, sebagai  kawasan pesisir laut mesra orang awam yang akan dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk mewujudkan laluan pejalan kaki lebih satu kilometer, dengan orang ramai boleh menikmati pemandangan laut, selain kemudahan kafe dan pelancongan, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan kapal persiaran.

“Ini merupakan perancangan yang sedang diteliti dan diharapkan dalam tahun ini kita dapat luluskan keseluruhan rancangan kerana buat masa ini terdapat beberapa tender berasingan yang sedang berjalan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan