PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Padang Merbok, satu daripada ruang awam ikonik di pusat bandar Kuala Lumpur, dibuka semula sepenuhnya kepada orang awam selepas pagar yang dipasang sejak Ogos 2022 diturunkan pada 14 Jan lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau berkata langkah itu melambangkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memulihkan hak rakyat terhadap ruang awam yang secara tradisinya menjadi milik umum.
“Pembukaan semula Padang Merbok juga menjawab keperluan sebuah bandar yang semakin berkembang. Kuala Lumpur kini berdepan tekanan akibat kesesakan trafik, peningkatan pelancongan dan penganjuran acara awam berskala besar yang menjejaskan ruang awam sedia ada.
“Dengan memulihkan padang bersejarah ini, kerajaan menyediakan lokasi yang lebih selamat dan mudah diakses untuk rakyat berkumpul, sambil mengurangkan kesesakan dan melindungi kawasan warisan berdekatan. Ruang awam mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk kuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata penutupan berpanjangan di bawah pentadbiran terdahulu telah menafikan rakyat daripada menggunakan ruang awam yang signifikan itu untuk sukan, rekreasi dan perhimpunan aman yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.
Beliau berkata Padang Merbok, yang terletak berhampiran Dataran Merdeka dan Parlimen, mempunyai nilai nasional tersendiri, dan menjadi titik pertemuan semula jadi antara kehidupan komuniti dan ekspresi demokrasi.
"Padang Merbok kini dibuka semula dan berada tepat di tempat yang sepatutnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial