Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Warisan Ikonik Perak Ipoh White Coffee Diangkat Jadi Filem Pendek

12/06/2026 04:12 PM

IPOH, 12 Jun (Bernama) -- Kopi Putih Ipoh yang menjadi identiti dan kebanggaan Perak diangkat menjadi sebuah filem pendek berjudul Ipoh White Coffee, hasil karya penggiat seni bebas tempatan Faindra Jabbar dan dijangka ditayangkan pada Oktober ini sempena sambutan Hari Kopi Sedunia.

Filem berdurasi kira-kira 15 minit itu memberi penghormatan kepada sejarah, tradisi dan budaya kopi putih Ipoh yang terkenal pada peringkat nasional serta antarabangsa, selain turut mengetengahkan keunikan masyarakat dan warisan Perak melalui pendekatan penceritaan visual.

Faindra berkata idea menghasilkan karya itu tercetus daripada keinginan mendokumentasikan dan memelihara warisan negeri tersebut agar terus dihargai generasi masa kini dan akan datang.

Ad Banner
Ad Banner

Ipoh White Coffee bukan sekadar memaparkan budaya menikmati kopi sebaliknya mengangkat nilai memori, tradisi dan identiti masyarakat yang telah membentuk sejarah dan perkembangan bandar raya Ipoh sejak sekian lama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Filem itu mengisahkan konflik sebuah keluarga yang berhadapan dilema antara mengejar cita-cita dalam bidang seni atau meneruskan legasi perniagaan kopi keluarga dengan kopi dijadikan simbol yang menghubungkan hubungan dan perkembangan emosi setiap watak.

Selain tema warisan dan kekeluargaan, karya itu turut menyelitkan mesej kesedaran kesihatan mental sebagai antara nilai moral yang ingin diketengahkan kepada penonton.

Beliau berkata projek Ipoh White Coffee turut menerima sokongan melalui pembiayaan daripada Port Ipoh menerusi inisiatif Dana Kreatif Perak 2026 selain mendapat tajaan beberapa kafe, kedai kopi dan premis perniagaan tempatan di sekitar bandar raya itu.

Sementara itu, Pengarah Fotografi filem tersebut Meor Muhammad Aslam berkata penggambaran turut memberi tumpuan kepada keindahan lokasi pelancongan di sekitar Ipoh dan beberapa kawasan lain di Perak sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri.

Penggambaran filem antara lain dilakukan di Batu Gajah, Tronoh dan Bota, selesai pada penghujung Mei lepas dengan filem itu kini dalam fasa pascaproduksi sebelum ditayangkan kepada umum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan