AM > BERITA

1,500 Sekolah Sertai Sekolah Angkat MADANI Tahun Ini - Amir Hamzah

17/01/2026 03:55 PM

KLANG, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan sebanyak 1,500 sekolah di seluruh negara akan menyertai Program Sekolah Angkat MADANI (SAM), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan daripada 921 buah sekolah terpilih berbanding pada tahun lepas memperlihatkan usaha tersebut disambut baik syarikat bukan kerajaan (GLC) dan swasta.

“Tahun lepas, sebanyak 921 sekolah terlibat SAM yang kebanyakan tu datang daripada kementerian, agensi kerajaan dan juga GLC.

Ad Banner
Ad Banner

“Tahun ini sasaran itu meningkat susulan kerjasama dengan syarikat swasta. Mereka lihat satu perkembangan yang baik tahun lepas, jadi mereka tampil. Insya-Allah negara akan lebih maju kerana kita melabur untuk anak-anak muda dan inilah menjadi pelapis negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Komuniti MyPlus di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempun) atau SMK (P) Bukit Kuda di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi PLUS Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad Datuk Amran Hafiz Affifudin.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata pada tahun ini buat julung kali PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaksanakan Hari Komuniti MyPLUS, melibatkan lima buah SAM iaitu SMK (P) Bukit Kuda, Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari di Kedah, SK Perlok di Perak, SMK Buluh Kasap di Johor dan SK Bukit Besi di Terengganu.

“Hari Komuniti MyPLUS turut disertai 1,250 sukarelawan daripada warga PLUS dan pelajar-pelajar dari 11 institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan dan Kolej Vokasional dan Kolej Teknologi Termaju (ADTEC).

“Lebih daripada 4,081 orang pelajar dan warga pendidik daripada lima buah sekolah bawah SAM di bawah kendalian PLUS terlibat dan menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini,” katanya.

Beliau berkata dengan tema ‘Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari’, program CSR bagi edisi tahun kesembilan telah memberi manfaat kepada 138,255 ahli komuniti secara keseluruhan di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS sejak program dianjurkan pada 2013.

“Sebanyak 25 lokasi projek di seluruh negara telah dipilih merangkumi kerja-kerja penambahbaikan kawasan komuniti seperti di lima buah sekolah, klinik kesihatan, pusat komuniti, taman rekreasi, kawasan pantai dan lain-lain lokasi berdekatan dengan jajaran Lebuhraya PLUS,” katanya.

Dalam pada itu, di SMK (P) Bukit Kuda, PLUS menjalankan pelbagai inisiatif penambahbaikan infrastruktur dan prasarana di sekolah itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada lebih 700 pelajar, warga pendidik serta kakitangan sokongan sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan