Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PKNS Peruntuk RM273,600 Perkasa Program Ramadan Kasih 2026

06/03/2026 10:28 PM

SHAH ALAM, 6 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan sebanyak RM273,600 bagi menjayakan lapan program di bawah inisiatif Ramadan Kasih PKNS 2026.

Menurut PKNS, program tahunan yang dianjurkan sejak 2023 itu akan memberi manfaat kepada pelbagai golongan masyarakat, termasuk anak yatim, fakir miskin, warga emas, serta orang awam.

“Pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan sepanjang Ramadan ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah menyemai nilai keprihatinan, persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan semangat bulan Ramadan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Secara keseluruhan, inisiatif Ramadan Kasih PKNS ini mencerminkan komitmen berterusan PKNS sebagai agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) serta menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya di Selangor,” menurut kenyataan PKNS hari ini.

PKNS berkata menerusi inisiatif itu, sebanyak RM100,000 bantuan tunai disalurkan kepada setiap rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam dan Kompleks Asrama Anak-Anak Yatim Pulau Indah, Klang bagi menyokong operasi dan pembinaan institusi tersebut.

Selain itu, PKNS turut menyalurkan perbelanjaan pakaian raya termasuk duit raya kepada 26 anak yatim, barangan keperluan asas dapur kepada 50 keluarga warga emas fakir miskin, serta edaran 6,000 bekas bubur lambuk percuma kepada orang awam dengan jumlah keseluruhan RM73,600.

Terdahulu, seramai 500 warga PKNS berbuka puasa bersama 26 anak yatim daripada Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam pada Program Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

“Anak-anak tersebut turut menerima duit raya sebanyak RM200 seorang yang disampaikan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.

Di majlis sama, Persatuan Pegawai Kanan (SOA) PKNS yang diwakili presidennya Wan Zuraimy Che Wan Zaid turut menyampaikan sumbangan  berjumlah RM2,000 kepada rumah kebajikan berkenaan.

Majlis berbuka puasa turut diserikan dengan tazkirah bertajuk “Kepimpinan Rabbani Mengemudi abaran Semasa, Tegas Pada Prinsip dan Pemurah Pada Bersedekah” yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin.

Di samping itu, solat isyak dan tarawih berjemaah di Aneka Walk diimamkan oleh Ustaz Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan