AM > BERITA

Sebanyak 47.09 Peratus Pengundi Awal PRK Kinabatangan Selesai Mengundi Setakat 10 Pagi - SPR

20/01/2026 11:48 AM

KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Seramai 80 anggota polis atau 47.09 peratus telah selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, setakat 10 pagi ini.

Menurut grafik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, seramai 34 anggota polis atau 47.34 peratus telah selesai mengundi dalam tempoh yang sama.

SPR memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 196 anggota polis yang layak mengundi awal, 189 anggota menunaikan tanggungjawab masing-masing secara fizikal, manakala tujuh anggota lagi mengundi melalui undi pos.

Ad Banner
Ad Banner

Proses pengundian awal diadakan di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan yang dibuka pada 8 pagi tadi dan akan ditutup pada 5 petang ini, berlangsung dalam keadaan cuaca baik.

Kedua-dua PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan