AM > BERITA

Pusat Rujukan Isu Sensatif Masyarakat Ditubuhkan, Tangani Isu Perpaduan - Aaron

20/01/2026 06:10 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) sebagai usaha menangani dan mengurus isu perpaduan secara lebih berkesan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), akan menyelaras serta menyatupadukan semua mekanisme pengurusan isu perpaduan melalui PRISMA.

“Langkah ini bertujuan memastikan pendekatan yang sistematik, bersepadu dan strategik dalam menangani cabaran perpaduan,” katanya ketika menyampaikan amanat Kementerian Perpaduan Negara (KPN) 2026 di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata kementerian juga akan muktamadkan Kerangka Pengurusan Isu Perpaduan (IRM) sebagai dokumen induk bersepadu untuk menyelaras tindakan pelbagai agensi secara sistematik.

“KPN memikul amanah yang amat besar untuk menjadi jambatan penyatuan dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya dan menambah tema bagi tahun 2026 ialah “Bersama Membina Negara Bangsa”.

Beliau berkata tema pada tahun ini, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI melalui Rancangan Malaysia Ke-13 yang turut mengangkat pembinaan negara bangsa sebagai antara tonggak utama pembangunan rakyat dan negara.

“Negara Bangsa amat penting untuk Malaysia pada masa ini, kerana ia menjadi asas kepada P.U.S.H (peace, unity, stability, harmony) iaitu keamanan, perpaduan, kestabilan dan keharmonian sebuah negara yang majmuk,” katanya.

Sementara itu, Aaron berkata gerak kerja KPN pada tahun ini akan difokuskan kepada lima kluster utama iaitu Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI dan Warisan MADANI.

Beliau berkata beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi dialog awam serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa pada Sept ini, akan dilaksana bagi menghasilkan Pelan Tindakan Negara Bangsa untuk rujukan terutama kepada agensi kerajaan dalam membuat dasar dan inisiatif baharu.

“Tahun ini, kementerian akan berusaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia di Parlimen.

“Kementerian melalui Perpustakaan Negara Malaysia akan mengkaji semula Akta Penyerahan Bahan 1986, bagi meningkatkan akses kepada bahan ilmiah negara,” katanya. 

Pada majlis itu, Aaron turut menyerahkan sijil pelantikan rakan media rasmi Negara Bangsa kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang diwakili oleh Timbalan Editor Eksekutif II Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer.

Turut menerima pelantikan rakan media rasmi ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN). 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan