KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga kerja Malaysia akan diperkasakan bagi memastikan siswazah dan pekerja kekal berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran pada peringkat global, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata di samping bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam urusan rasmi serta pentadbiran, bahasa Inggeris berperanan sebagai lingua franca antarabangsa yang membuka akses kepada ilmu teknologi, perdagangan dan pendidikan tinggi pada peringkat global.
“Penguasaan bahasa Inggeris merupakan satu kompetensi teras kritikal, khususnya bagi tenaga kerja baharu dalam menghadapi persekitaran pekerjaan yang bersifat global, berteknologi tinggi serta dipacu oleh automasi dan kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) berhubung pendirian Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terhadap keperluan penguasaan bahasa Inggeris dan usaha memperkasakan penggunaan bahasa berkenaan dalam kalangan sektor tenaga kerja negara.
Dalam usaha memperkukuh kemahiran bahasa, Ramanan berkata KESUMA mengintegrasikan elemen bahasa Inggeris ke dalam pembangunan Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), khususnya bagi sektor berorientasikan industri global seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), aeroangkasa, automotif serta perkhidmatan profesional.
Selain itu, institusi latihan kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut ditambah baik menerusi penggalakan penggunaan bahan rujukan dwibahasa, pelaksanaan pembentangan dan penilaian dalam bahasa Inggeris, termasuk menyediakan lebih 2,000 kursus percuma berkaitan bahasa Inggeris, komunikasi profesional dan kemahiran tempat kerja.
Menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) tentang kepentingan mempelajari bahasa lain seperti bahasa Cina, Jepun, Korea dan Jerman, Ramanan berkata fokus utama ialah bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam urusan perdagangan dan pengurusan syarikat, namun penguasaan bahasa lain amat digalakkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial