AM > BERITA

Jualan Agro MADANI Rekod Nilai Jualan RM84 Juta Tahun Lepas - FAMA

24/01/2026 12:28 AM

KOTA BHARU, 23 Jan (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merekodkan nilai jualan sebanyak RM84.14 juta menerusi program Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada tahun lepas.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata sebanyak 61,891 usahawan telah terlibat dalam program berkenaan dengan lebih 2.6 juta pengunjung menerima manfaat secara langsung.

"FAMA menyasarkan 4,050 program Jualan Agro MADANI pada 2025 dan telah berjaya melaksanakan 4,300 program, melepasi sasaran yang ditetapkan. 

Ad Banner
Ad Banner

"Penjimatan kepada rakyat pula berjumlah RM25.18 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Jualan Agro MADANI @ Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini.

Beliau berkata program ini membuktikan bahawa ia bukan sekadar perancangan di atas kertas tetapi benar-benar memberi kesan kepada rakyat.

Penganjuran karnival yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Jan itu menawarkan pelbagai tarikan utama yang direka khusus untuk menarik kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Antara fokus utama ialah Jualan Istimewa Kombo MADANI, termasuk pakej barangan keperluan asas seperti telur, ayam dan sayur-sayuran pada harga promosi serendah RM5 hingga RM10, selain turut menampilkan lima kluster utama merangkumi Kluster Makanan Popular dan Viral; Kluster Segar; Kluster Industri Asas Tani; Kluster Florikultur; dan pameran jabatan serta agensi kerajaan.

Abdul Rashid berkata FAMA Kelantan akan menguruskan Bazar Ramadan Aidilfitri di dalam kawasan RTC yang akan beroperasi sepanjang Ramadan bermula 3 petang hingga 1 pagi. 

"Bazar ini memberi peluang kepada usahawan tempatan, termasuk usahawan FAMA, pasar tani dan industri makanan dan asas tani (IMAT) untuk berniaga dengan kos tapak yang rendah, di samping menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa, barangan segar Jualan Agro MADANI serta barangan Aidilfitri.

"Kemudahan tempat berbuka puasa yang selesa juga akan disediakan bagi membolehkan pengunjung berbuka bersama keluarga dalam suasana yang teratur dan selamat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan