AM > BERITA

Pengguna Di Seberang Perai Utara, Tengah Dinasihat Simpan Air Untuk 28 Dan 29 Jan

26/01/2026 03:44 PM

GEORGE TOWN, 26 Jan (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan kerja penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai kedua (SP-RCP ke-2) di Sungai Dua, Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata pengguna di beberapa kawasan di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dinasihatkan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan selama 24 jam bermula 28 Jan sebagai langkah berwaspada.

“Di Seberang Perai Utara hanya satu kawasan terlibat iaitu Sungai Dua manakala di Seberang Perai Tengah melibatkan kawasan Alma, Bukit Mertajam termasuk Pekan Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh dan Cherok Tokun.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, turut terlibat ialah Kampung Baru, Kampung Kota, Kota Permai, Machang Bubok, Padang Lalang, Penanti, Permatang Pasir, Sungai Rambai, Taman Bukit, Taman Bukit Indah dan Taman Sentosa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan berkata PBAPP akan menggunakan teknologi hot tapping dan line stopping bagi melaksanakan kerja penyambungan akhir tanpa menutup saluran paip utama yang membekalkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada kira-kira 26,000 pengguna.

Penggunaan teknologi itu tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang dan dijangka tidak akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air di dua kawasan tersebut, namun kerjasama pengguna untuk menyimpan air diperlukan, sekiranya berlaku perkara tidak dijangka.

Beliau berkata teknologi itu digunakan kali pertama bagi kerja penyambungan akhir melibatkan saluran paip utama berdiameter 900 milimeter di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan