AM > BERITA

Program ADI KESUMA Capai 86.3 Peratus Penempatan Kerja Peserta

28/01/2026 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Program Akademi Dalam Industri (ADI) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus menunjukkan keberkesanannya apabila 86.3 peratus pesertanya berjaya mendapat pekerjaan, manakala 61 peratus pekerja sedia ada menikmati kenaikan gaji pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan berkata seramai 10,852 perantis telah mendaftar di bawah program berkenaan, dengan 6,228 daripadanya berjaya dipersijilkan, selaras usaha KESUMA meningkatkan keberkesanan latihan berasaskan industri.

Beliau berkata Kerajaan MADANI turut memberi keutamaan kepada peningkatan kualiti pekerjaan dan kesepadanan kemahiran dengan keperluan industri melalui kerjasama strategik bersama peneraju industri berimpak tinggi seperti PROTON, Huawei, PETRONAS dan Daikin.

Ad Banner
Ad Banner

Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan peserta ditempatkan dalam pekerjaan setara dengan kelayakan serta mempunyai nilai tambah tinggi, selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kadar tenaga kerja tidak penuh kepada 30 peratus menjelang 2030.

“Bagi tujuan tersebut, KESUMA telah mengatur strategi bersepadu antara agensi dan jabatan bagi menangani isu underemployment, khususnya dalam kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), melalui penyelarasan latihan, peluasan perantisan dan padanan pekerjaan berasaskan data pasaran buruh.

“Usaha ini menyelaras penawaran dan permintaan tenaga kerja dengan mengintegrasikan pelbagai inisiatif dan platform yang ada di bawah KESUMA,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Khairul Firdaus menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai strategi kerajaan menangani siswazah yang bekerja di jawatan di bawah kelayakan mereka serta kadar penempatan kerja mengikut bidang pengajian dan sektor industri.

Beliau berkata langkah itu turut diperkukuhkan melalui latihan berasaskan permintaan industri yang dipetakan kepada Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan dilengkapi Latihan Dalam Industri, yang telah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus, dengan 85.1 peratus penempatan kerja dalam bidang masing-masing.

Katanya, empat Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) mencatat kadar kebolehpasaran 100 peratus pada 2025 iaitu ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang, Bukit Katil, Kota Kinabalu dan Kepala Batas.

Khairul Firdaus berkata tiga kluster tertinggi yang merekodkan kadar penempatan kerja dalam bidang ialah pengangkutan (90.3 peratus), perkhidmatan kejuruteraan (88.6 peratus) dan penyelenggaraan elektrik (88.5 peratus), jauh mengatasi kadar kebangsaan iaitu 57.6 peratus bagi lepasan ijazah dan 53.3 peratus bagi lepasan diploma.

“Kejayaan ini dikukuhkan lagi apabila 97.5 peratus majikan melaporkan berpuas hati dengan prestasi pelajar ADTEC JTM semasa menjalani latihan industri,” katanya.

Beliau menambah, setakat Disember 2025, sebanyak 3,715 program penempatan pekerjaan telah dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), melibatkan 61,997 penempatan dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit (25,481) serta sektor profesional, saintifik dan teknikal (13,760).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan