AM > BERITA

Tiga Inisiatif Digital Perkukuh Putrajaya Sebagai Bandar Pintar, Mampan

29/01/2026 01:00 PM

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Tiga inisiatif digital utama dilancarkan hari ini bagi memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai bandar pintar dan mampan, sekali gus menyokong agenda transformasi digital dan penglibatan komuniti setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif berkenaan merangkumi Laman Web Pelancongan Putrajaya, Aplikasi Mudah Alih Putrajaya dan Laman Web Local Agenda 21 (LA21).

Beliau berkata Laman Web Pelancongan Putrajaya bertujuan mempromosikan bandar itu sebagai destinasi pelancongan bandar serta rekreasi dan acara, manakala Aplikasi Mudah Alih Putrajaya berfungsi sebagai platform digital bersepadu untuk memudahkan orang ramai mengakses maklumat dan perkhidmatan bandar.

Ad Banner

“Laman Web LA21 pula bertujuan memperkukuh penglibatan komuniti dan tadbir urus mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Putrajaya 2026 di sini hari ini. 

Mengenai penganjuran Hari Terbuka Putrajaya 2026, Hannah berkata program selama empat hari itu berlangsung bermula hari ini hingga 1 Feb di Dataran Putrajaya, melibatkan penyertaan kira-kira 500 pempamer daripada sektor swasta serta kerajaan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai, khususnya ibu bapa untuk membawa anak-anak mengunjungi program itu yang menampilkan pelbagai reruai termasuk persiapan Hari Raya Aidilfitri, di samping aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk jualan dan melihat sendiri dua ekor gajah dibawakan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

“Menariknya tahun ini Jabatan Perhilitan bawa dua gajah ke sini. Saya pun kali pertama beri gajah makan. Semua orang bandar ini tiada pengalaman begini. Jadi, kami mahu memberi pengalaman ini kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Hari Terbuka Putrajaya edisi kali ini menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung berbanding 50,000 tahun lepas.

Hari Terbuka Putrajaya 2026 menawarkan pelbagai pengisian merangkumi perkhidmatan sektor awam; pameran pelancongan berskala besar; program pendidikan dan kerjaya; aktiviti keluarga dan rekreasi; pameran kreatif; zon makanan dan minuman serta persembahan pentas.

Penganjuran program itu turut disepadukan dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan Putrajaya ke-30, sekali gus menjadi platform berimpak tinggi dalam merapatkan hubungan antara kerajaan, industri dan rakyat, selain memperkukuh kedudukan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran yang mampan, mesra pelancong, selamat dan berdaya huni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan