AM > BERITA

PETRA Lancar PSP26-30, Percepat Agenda Peralihan Tenaga, Transformasi Air

29/01/2026 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini melancarkan Pelan Strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air 2026-2030 (PSP26-30), sebuah pelan hala tuju strategik lima tahun dalam mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga dan transformasi air selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata PSP26-30 yang dilancarkan pada perhimpunan bulanan pertama kementerian itu bagi tahun ini, hari ini dirangka berteraskan enam teras strategik, merangkumi 34 strategi, 119 program dan inisiatif serta 133 sasaran yang jelas dan terukur.

“Syabas dan tahniah kepada Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA) selaku peneraju serta semua pegawai daripada pelbagai bahagian dan agensi di bawah PETRA yang terlibat dalam membangunkan PSP26-30 ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Harapan saya agar semua bahagian, jabatan dan agensi di bawah PETRA dapat memberikan komitmen penuh bagi memastikan perancangan lima tahun ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Menerusi hantaran sama, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut berkongsi kejayaan PETRA sepanjang 2025, yang membuktikan keupayaan warga kementerian dalam menyampaikan impak sebenar kepada rakyat.

Fadillah berkata kejayaan itu termasuk dalam sektor air dengan 88.89 peratus projek sambungan air siap mendahului atau mengikut jadual, 21 Loji Rawatan Air (LRA) siap membekalkan 2,081 juta liter harian (JLH) dan 4,783 kilometer paip dinaik taraf di seluruh negara.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga melaksanakan 149 projek tebatan banjir yang memanfaatkan 1.77 juta penduduk, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencatat penjimatan air hingga 85 peratus melalui peluasan Water Efficiency Product Labelling (WEPLS).

“Sektor tenaga pula mencatat kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) melebihi 13,300 MW setakat Disember 2025, dan ini selaras sasaran 70 peratus menjelang 2050.

“Penjimatan tenaga melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) mencapai penjimatan elektrik kumulatif 60,852 GWj - dengan penjimatan kos RM16.09 bilion dan pengurangan pelepasan karbon 35.6 juta tan,” katanya.

Dari segi kerjasama serantau, Fadillah berkata pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2035 Fasa Pertama, memulakan inisiatif pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG).

Timbalan Perdana Menteri berkata PETRA juga mencatat prestasi perbelanjaan RM4.45 bilion atau 99.5 peratus peruntukan tahun lepas, menjadikan ia antara lima kementerian terbaik negara.

Beliau berkata prestasi cemerlang perbelanjaan pembangunan PETRA yang mencecah hampir 100 peratus juga mencerminkan kecekapan tadbir urus serta keupayaan menterjemah peruntukan kepada manfaat langsung kepada rakyat.

Fadillah berkata budaya kerja positif juga terus diperkukuh apabila PETRA muncul sebagai kementerian dengan indeks keseronokan bekerja tertinggi, membuktikan persekitaran kerja yang sihat mampu melahirkan prestasi luar biasa.

“Semoga PETRA terus melakar kecemerlangan, memperkukuh kepercayaan rakyat dan memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih lestari, sejahtera dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan