AM > BERITA

Langkah Kerajaan Hadkan Tempoh Jawatan PM Bersandarkan Prinsip "Tiada Siapa Yang Menongkat Langit"

29/01/2026 08:17 PM

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah kerajaan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah bersandarkan prinsip "tiada siapa yang menongkat langit".

Beliau berkata Malaysia, dengan jumlah penduduk melebihi 34 juta orang, mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan negara perlu memastikan bahawa kuasa tidak hanya tertumpu kepada seorang individu dalam tempoh terlalu lama.

“Saya boleh katakan bahawa tiada siapa yang menongkat langit... di Malaysia, dengan lebih 34 juta penduduk, ada ramai individu yang berkaliber... jika seorang pemimpin itu bagus, beliau akan meninggalkan peralihan bagi kepimpinan,” katanya pada sesi dialog awam berhubung rang undang-undang mengenai pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Azalina juga berkata rang undang-undang itu bukan bertujuan menyekat mana-mana individu sebaliknya berhasrat memperkukuh tadbir urus dan mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Ia bukan tentang mengehadkan seseorang pemimpin… ia bagi memastikan tiada siapa menyalahgunakan kuasa... ia tentang individu yang berfikiran bahawa saya tidak boleh disentuh dan saya boleh terus berkuasa selama-lamanya... itulah mesejnya,” kata beliau.

Azalina juga berkata walaupun sudah bersara, bekas pemimpin boleh terus menyumbang kepada negara dalam kapasiti lain termasuk sebagai menteri kanan atau penasihat kerana kepimpinan seharusnya berfungsi secara kolektif.

Beliau berkata memandangkan jawatan Perdana Menteri kekal sebagai antara yang paling berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan, langkah-langkah institusi perlu diwujudkan sebagai pelindung.

“Saya harap semua orang faham ini bukan soal tidak percaya sebaliknya lebih kepada kerana jawatan itu sangat berkuasa,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, Azalina mengesahkan rang undang-undang itu akan melibatkan pindaan Perlembagaan, dan beliau berharap dapat membentangkannya dalam sesi Parlimen yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, beliau berkata Ahli Parlimen perlu terlebih dahulu mencapai kata sepakat mengenai perkara utama termasuk definisi tepat bagi had tempoh jawatan dan sama ada ia perlu ditetapkan kepada dua penggal atau dihadkan kepada 10 tahun.

Azalina berkata Kabinet akan mengadakan perbincangan esok mengenai aspek penguatkuasaan termasuk sama ada had tempoh jawatan itu akan dikuatkuasakan secara retrospektif atau prospektif, dan sama ada ia terpakai hanya untuk penggal berturut-turut atau penggal yang tidak berturut-turut yang dipegang pada tempoh berbeza.

"Saya akan bentangkan keputusan dasar... kalau dilulus oleh Kabinet kemudian dengan format pindaan kepada Perlembagaan, saya akan bentang kepada semua Ahli  Parlimen mengikut blok...  sudah tentu kita akan bincang secara menyeluruh isu yang ditekankan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan