AM > BERITA

Malek Razak Panglima Angkatan Tentera Baharu

31/01/2026 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Malek Razak dinaikkan ke pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral seterusya dilantik sebagai PAT. 

"Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Jan lepas dan seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata PAT ke-24 itu memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies daripada King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.

Malek Razak memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan ditauliahkan pada 11 Dis 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Mohamed Khaled berkata Malek Razak memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan berkhidmat di pelbagai pasukan dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

“Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat,” katanya.

Beliau berkata sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.

“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan