AM > BERITA

Projek Baiki Cerun VHF Perkukuh Keselamatan Infrastruktur Negara - Pintas Utama

04/02/2026 10:32 PM

JELEBU, 4 Feb (Bernama) -- Projek pembaikan cerun berskala besar di laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Telapak Buruk, di sini adalah antara langkah penting kerajaan untuk memastikan keselamatan berterusan infrastruktur strategik negara serta akses kegunaan teknikal termasuk di kawasan terpencil.

Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn Bhd (Pintas Utama) Datuk Marhalim Mohamed berkata syarikat itu, selaku kontraktor utama projek berkenaan, bertanggungjawab melaksanakan kerja pembaikan cerun di laluan itu bagi mengurangkan risiko runtuhan, sekali gus memastikan akses penyelenggaraan kepada kemudahan komunikasi dikekalkan.

Beliau berkata sekiranya berlaku runtuhan cerun, akses penyelenggaraan ke menara komunikasi akan terputus, sekali gus mengakibatkan kerugian kos pemulihan luar jangka dan gangguan perkhidmatan digital yang kritikal kepada ekonomi serta penduduk sekitar.

Ad Banner
Ad Banner

“Kegagalan menangani risiko cerun di kawasan tersebut bukan sekadar isu teknikal, malah mampu mencetuskan impak rantaian yang besar.

"Kegagalan mengenal pasti cerun berisiko di laluan ini mampu mencetuskan 'kesan domino' yang memberikan impak langsung kepada sistem komunikasi keselamatan dan rantaian digital setempat,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama selepas majlis perasmian penyerahan projek itu di sini hari ini.

Projek berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut melakukan lawatan rasmi ke beberapa tapak projek cerun yang telah siap di laluan VHF itu dan melihat sendiri kaedah diguna pakai untuk kerja pembaikan cerun.

Terdahulu, Nanta menerusi ucapannya merakamkan penghargaan kepada Pintas Utama yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berkesan.

“Syabas dan terima kasih kepada kontraktor Pintas Utama atas komitmen tinggi serta usaha berterusan dalam memastikan projek ini disiapkan mengikut piawaian dan tempoh yang ditetapkan,” katanya.

 Projek pembaikan cerun yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula pada 24 Nov 2022 itu berjaya disiapkan sepenuhnya pada 14 Okt 2025 dengan kos RM109 juta merangkumi 36 arahan kerja serta 124 lokasi di sepanjang laluan 11 kilometer melibatkan cerun berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

Majlis penyerahan projek itu ialah simbolik komitmen yang jitu daripada JKR Negeri Sembilan, JKR Daerah Seremban dan kontraktor Pintas Utama dalam mengutamakan keselamatan infrastruktur cerun termasuk lokasi kepentingan strategik terhadap ekonomi negara serta keperluan utama penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan