IPOH, 4 Feb (Bernama) -- Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk cedera parah selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika cuba mengelak seekor anjing di Selekoh, Bagan Datuk awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.03 tengah malam.
Beliau berkata pacuan empat roda dipandu mangsa Hafizul Borhan, 25, telah hilang kawalan selepas mengelak seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba sebelum melanggar sebatang tiang telekomunikasi dan sebatang pokok.
Mohd Fazly berkata mangsa mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk bengkak pada jantung dan buah pinggang, patah tujuh tulang rusuk, kerosakan usus, patah tangan serta patah kedua-dua belah kaki.
Katanya sebaik menerima panggilan, pegawai dan anggota APM telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal sebelum membawa mangsa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
“Mangsa telah dimasukkan ke dewan bedah pada 11.50 pagi tadi dan seterusnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan. Keadaan mangsa kini ditidurkan dan masih menunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial