AM > BERITA

141 Kes Buang Sampah Di Bawah Akta 672 Terima Izin Mendakwa - SWCorp

04/02/2026 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 141 kes melibatkan kesalahan membuang sampah di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah menerima izin mendakwa daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sejak 1 Jan sehingga semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata daripada jumlah itu, 46 kes telah ditetapkan tarikh sebutan di mahkamah.

“Setakat ini, tiga kes telah diselesaikan dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah. Bagi kesalahan ini,  mahkamah boleh mengenakan denda sehingga RM2,000 atau perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, tertakluk kepada fakta kes dan budi bicara mahkamah,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut memaklumkan notis pemberitahuan berkaitan kesalahan itu telah dikeluarkan terhadap 600 individu, dengan 462 daripadanya merupakan warga tempatan manakala 138 lagi warga asing.

“Ini menunjukkan kita tidak pilih bulu untuk menguatkuasakan akta ini. Sesiapa sahaja yang berada di Malaysia, jika membuang sampah merata-rata akan didakwa berdasarkan pemerhatian kami,”  tegasnya.

Khalid menegaskan SWCorp hanya bertanggungjawab di negeri dan wilayah yang mengguna pakai Akta 672 iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah, Perlis dan Pahang, manakala pengurusan sisa pepejal di negeri lain masih di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dan tertakluk kepada perundangan negeri.

“Perkara ini masih di peringkat penyelarasan. Beberapa negeri telah menetapkan tarikh pelaksanaan penguatkuasaan Akta 672,” katanya.

Mengenai mekanisme penguatkuasaan, Khalid berkata anggota SWCorp membuat rondaan dengan mengenakan pakaian biasa tanpa mengira waktu, selain merakam aksi pelaku membuang sampah merata-rata sebelum mengambil tindakan lanjut.

Dalam sidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan semua pesalah yang disabitkan mahkamah bagi kesalahan membuang sampah akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat secara serentak pada 13 Feb ini.

Beliau berkata pesalah akan menjalani hukuman dengan membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam, mengikut sabitan mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan