Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tapak Pelupusan Kayu Madang Hampir Penuh, DBKK Perhebat Pengasingan Sisa Dari Punca

09/04/2026 10:59 AM

KOTA KINABALU, 9 April (Bernama) -- Tapak pelupusan sampah utama di Kayu Madang, dekat sini, hampir mencapai kapasiti maksimum sekali gus menuntut tindakan segera dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan sekitar bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Leong Tze Fui berkata pihaknya menekankan kepentingan pengasingan sisa dari punca sebagai langkah strategik untuk memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan berkenaan.

Beliau berkata strategi itu merupakan sebahagian daripada rancangan pembaharuan dan penambahbaikan DBKK bagi memastikan pengurusan sisa pepejal efektif dalam kalangan warga kota khususnya peniaga makanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Program ini antara lain untuk memastikan pengasingan sisa pepejal yang boleh dikompos dan sisa yang boleh dikitar semula. Kita akan maklumkan sebelum ia dilaksanakan. Kita memberi kesedaran terlebih dahulu (mengenai kepentingan pengasingan sisa pepejal dari punca).

“Buat masa ini, tahap pengasingan sisa dari punca dalam kalangan peniaga adalah sifar. Justeru, peniaga makanan digesa untuk melaksanakan pengasingan dari punca. Jangan semua sisa pepejal dibuang ke dalam tong sampah,” katanya kepada Bernama.

Leong berkata pengurusan sisa lebih sistematik bukan sahaja mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan, malah membolehkan sisa yang dikitar semula dijadikan bahan mentah.

Beliau berkata sisa yang boleh dikompos boleh diproses menjadi baja organik seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Menurut Leong, pengurusan sisa pepejal dari punca amat penting berikutan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada di Kayu Madang semakin berkurangan.

Beliau berkata tapak itu merupakan satu-satunya tapak pelupusan sampah di Kota Kinabalu dan turut menampung sisa dari daerah berdekatan.

“Kita cuma ada satu sahaja tapak pelupusan sampah di Kayu Madang dan jangka hayat itu akan merosot atau jadi pendek sekiranya tiada proses pemulihan dibuat.

“Sisa yang boleh dikitar semula patut diasingkan dan tidak ke tapak pelupusan. Sisa yang boleh dikompos pula patut jadi baja.

“Sekarang Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang memasuki fasa terakhir. Tapak pelupusan sampah ini wujud sejak 1997. Kalau tiada program pengasingan sisa pepejal dilaksanakan, kita membazirkan sumber yang boleh dipulihkan,” katanya.

Mengulas lanjut program pengurusan sisa pepejal dari punca, Leong berkata pelaksanaannya ketika ini belum dibuat secara tegas berikutan kekangan dihadapi peniaga serta DBKK dalam menyediakan kemudahan kutipan mencukupi.

Katanya, pengasingan sisa dari punca khususnya melibatkan sisa makanan memerlukan pelupusan segera bagi mengelakkan pencemaran bau, justeru, DBKK perlu menyediakan kemudahan, selain menetapkan jadual kutipan.

“Kita tidak mahu, hari ini pengasingan sisa dibuat, tetapi akhirnya mewujudkan masalah baharu…. perlu perancangan rapi,” katanya.

Leong berkata program pengasingan sisa dari punca dijangka bermula tahun depan, manakala tahun ini memberi tumpuan kepada penelitian, kemas kini dan usaha pendidikan kepada pihak berkepentingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan