Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Tidak Berkompromi Pemaju Gagal Siap Projek Perumahan Rakyat

06/02/2026 03:43 PM

KUANTAN, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang tegas tidak akan berkompromi dengan pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan rakyat di negeri itu mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata tindakan tegas telah dan akan terus diambil terhadap pemaju dikenal pasti berdepan isu kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek.

“Sekiranya berlaku, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan memanggil pemaju terlibat bagi mendapatkan penjelasan serta pelan mitigasi sebelum dibawa ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan,” katanya.

Ad Banner

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pemilikan PR1MA Pahang Batu 6, Lepar (Fasa 1 dan 2) serta Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kampung Hijrah, Penor (Fasa 3) di sini hari ini.

Beliau berkata antara alasan sering diberikan pemaju ialah bencana alam seperti banjir dan kerajaan negeri akan menilai perancangan susulan yang dikemukakan mereka bagi memastikan projek dapat disiapkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, pihaknya melalui LPHP telah menyiapkan 29,283 unit rumah melibatkan kos pembangunan berjumlah RM2.2 bilion.

Beliau berkata nilai keseluruhan sebenar pembangunan mencecah RM4.9 bilion dengan return of value (ROV) berjumlah RM2.7 bilion merangkumi pelbagai skim perumahan negeri termasuk PR1MA Pahang sebanyak 9,057 unit bernilai RM1.4 bilion.

“Skim lain melibatkan Rumah Makmur sebanyak 212 unit (RM16.9 juta), Perumahan Awam Kos Rendah 13,873 unit (RM485 juta), Program Residensi Rakyat 4,168 unit (RM148.8 juta) dan Rumah Rakyat Pahang sebanyak 1,188 unit bernilai RM87.2 juta,” katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata skim lain termasuk Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah sebanyak 384 unit (RM31.8 juta), Rumah Mangsa Banjir 121 unit (RM12.2 juta) dan Skim Tanah Warisan (STW) melibatkan 280 unit dengan kos RM15 juta.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan