Ad Banner
 AM > BERITA

325 Peniaga Bazar Ramadan Lembah Pantai Terima Kemudahan e-POS, Pengurangan Sewa - Fahmi

07/02/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Sebanyak 325 peniaga di dua lokasi bazar Ramadan sekitar Lembah Pantai bakal menikmati kemudahan sistem Point of Sales (e-POS) selain pengurangan kos sewa tapak bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu melibatkan penyerahan kanopi, apron dan unit e-POS dengan kerjasama Touch ’n Go di Bazar Ria Pantai dan Bazar Ramadan Taman Seri Sentosa.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata sumbangan berkenaan bertujuan membantu peniaga tempatan mengurangkan kos operasi serta memastikan mereka lebih bersedia menghadapi musim perniagaan Ramadan tahun ini.

Ad Banner

“Walaupun menteri wilayah telah mengumumkan siling RM400 (sewa tapak) bagi setiap peniaga, saya akan membantu dengan memberikan sumbangan dan memulangkan RM100 kepada setiap peniaga. Jadi akhirnya peniaga di kedua-dua bazar ini hanya perlu membayar RM300,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Khemah Sumbangan Touch ’n Go kepada Persatuan Penjaja Bazar di Pantai Dalam, di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi berkata perbincangan sedang dijalankan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu bazar Ramadan lain di ibu negara yang tidak diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, termasuk melalui pelaksanaan kempen Internet Selamat.

Selain itu, Fahmi turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada persatuan peniaga di kawasan Lembah Pantai sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam membantu menguruskan kebajikan serta isu yang dihadapi peniaga di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, pihak pengurusan bazar Ramadan berdepan pelbagai isu termasuk berkenaan tapak niaga, koordinasi, dan penguatkuasaan pihak berkuasa. 

“Jadi saya telah minta supaya persatuan yang sangat mengenali para peniaga di sini, supaya memberikan peluang kepada peniaga-peniaga tempatan.

“Ini kerana isunya sekarang adalah untuk menampung (accommodate) jumlah yang ramai tapi kita cuba usahakan supaya ramai yang dapat manfaat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan