KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terus komited memperkasakan ekosistem industri kreatif negara menerusi penganjuran Bengkel Kreatif OKU: Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) yang membuka ruang latihan khusus kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Finas dalam kenyataan memaklumkan bengkel anjuran bersama-sama Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia itu program pertama seumpamanya yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat OKU dalam bidang lakonan suara dan drama radio.
Bengkel itu juga selari dengan hala tuju agensi dalam memperluas akses latihan, membina bakat baharu dan memastikan tiada kelompok tercicir dalam pembangunan industri kreatif negara.
“Finas berpandangan inisiatif itu mencerminkan pendekatan baharu pembangunan modal insan industri kreatif melalui tumpuan kepada lakonan suara dan drama radio yang berpotensi membuka peluang kerjaya kepada komuniti OKU,” menurut kenyataan itu.
Antara fokus utama bengkel tiga hari bermula 10 Feb ialah teknik vokal, pernafasan, tonasi dan sebutan yang jelas sekali gus memberi peluang kepada peserta OKU meneroka bidang drama radio, alih suara, pengiklanan suara dan animasi.
Majlis penutup dan penyampaian sijil dijadualkan pada 13 Feb bersempena sambutan Hari Radio Sedunia.
Finas memaklumkan bengkel itu melibatkan tenaga pengajar berpengalaman termasuk Datuk Fauziah Nawi sebagai penasihat program, guru vokal Siti Hajar Ismail dan pemenang Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 Adam Shahz.
Finas berharap inisiatif seperti itu dapat diperluas melalui kerjasama dengan stesen televisyen dan radio kerajaan serta swasta bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta penglibatan profesional kepada komuniti OKU dalam industri kreatif negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial