Ad Banner
 AM > BERITA

Delegasi Malaysia Meriahkan Sambutan Hari Pers Nasional Indonesia

09/02/2026 04:37 PM

BANTEN (Indonesia), 9 Feb (Bernama) -- Sambutan Hari Pers Nasional (HPN) 2026 hari ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih 30 delegasi Malaysia bersama kira-kira 3,000 pengamal media Indonesia.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dengan disertai barisan pimpinan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Jabatan Penyiaran Malaysia Hamzah Ishak serta Presiden Iswami Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Ad Banner

Menteri Koordinator Bidang Pemberdayaan Masyarakat Indonesia Abdul Muhaimin Iskandar berkata dalam era pergerakan data yang pantas dibantu kecerdasan buatan (AI), pengamal media memainkan peranan penting dalam memastikan ketepatan dan kejujuran laporan demi kebaikan masyarakat.

“Peranan pers (wartawan) yang berpaksikan kemanusiaan, rakyat tak hanya inginkan informasi cepat, tetapi tepat, jujur dan membawa ke arah kebaikan. Oleh kerana itu, kita perlu terus tegaskan kewartawanan tidak boleh kalah dengan AI.

“Teknologi harus jadi alat bantu bukan pengganti,” katanya semasa berucap merasmikan HPN 2026 mewakili Presiden Prabowo Subianto di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid.

Sementara itu, Teo berkata cabaran dihadapi pengamal media di Indonesia sebenarnya sangat mirip dengan pengamal media di Malaysia.

“Kita di sini nampak bahawa pengamal media juga menghadapi cabaran dari segi pengiklanan, perbelanjaan, AI dan sebagainya.

“Saya percaya hasrat untuk memastikan (ekosistem) kewartawanan kita sihat supaya ekonomi berdaulat, dan juga bangsa kita menjadi semakin kuat adalah sama (seperti wartawan Indonesia),” katanya.

Beliau turut berharap semangat dan pengalaman diperoleh menerusi HPN dapat dibawa pulang ke Malaysia sebagai persediaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan dianjurkan di Pulau Pinang, Jun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan