Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Manfaatkan Aplikasi Digital Bagi Perkukuh Pembangunan Sahsiah Murid

10/02/2026 05:16 PM

KUANTAN, 9 Feb (Bernama) -- Pahang menjadi negeri pertama yang melaksanakan penggunaan aplikasi StudentQR secara menyeluruh untuk memperkukuh pembangunan sahsiah murid berteraskan adat, identiti dan jati diri negeri.

Pengarah Pendidikan Pahang Ahmad Zamri Md Isa berkata pelaksanaan Program Adat dan Identiti Murid Pahang menerusi aplikasi tersebut telah mendapat kelulusan rasmi dan dilihat selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

"Penggunaan aplikasi tersebut akan dilaksanakan di semua sekolah di Pahang secara berperingkat dan ia akan dikaji dengan teliti supaya tugas ini tidak membebankan guru.

Ad Banner

"Apa yang ditawarkan oleh aplikasi ini ialah penglibatan ibu bapa yang disepadukan dengan guru dari segi komunikasi, inputnya mungkin sama atau berbeza tetapi kita akan fokus apa yang kita hendak," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Adat dan Identiti Murid Pahang: Aplikasi StudentQR untuk Meningkatkan Pembangunan Sahsiah Murid di sini hari ini. 

Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn Bhd Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Meriam Sultan Ahmad Shah. 

Ahmad Zamri berkata penggunaan aplikasi itu juga dilihat tidak menyulitkan semua pihak kerana hanya menggunakan telefon pintar, tetapi ia perlu diatur dengan baik bagi mengelakkan timbulnya sebarang masalah.

"Fokus utama program ini adalah pembinaan karakter murid manakala teknologi hanyalah alat bagi menyokong matlamat pendidikan yang berteraskan nilai murni.

"Melalui sistem ini, amalan baik murid di rumah dan di sekolah dapat direkod serta dihargai. Pihak sekolah pula mampu memperoleh data menyeluruh bagi melihat perkembangan sahsiah murid secara lebih tepat dan berfokus," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program secara menyeluruh itu diyakini mampu menjadikan Pahang sebagai perintis dan contoh kepada negeri lain dalam usaha memperkasakan pendidikan berasaskan sahsiah, nilai dan jati diri murid.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR Syed Huzaifah Syed Omar berkata pihaknya optimis aplikasi yang dibangunkan dapat mencapai objektifnya.

"Kita mahu ibu bapa terlibat sama dalam pembinaan karakter dan sahsiah yang baik bagi anak-anak sebelum pembangunan seterusnya di sekolah. Jadi untuk merealisasikannya, kita bangunkan aplikasi menggunakan teknologi murah tetapi praktikal, iaitu dengan hanya kod QR," katanya.

Syed Huzaifah berkata sistem berkenaan juga dilihat selamat untuk digunakan kerana ia memiliki tahap keselamatan yang baik dan hanya boleh diakses oleh ibu bapa serta guru.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan