Ad Banner
 AM > BERITA

Kemajuan Projek ECRL Catat 91.7 Peratus, Tumpuan Kini Fasa Persiapan Operasi 

11/02/2026 02:37 PM

KUANTAN, 11 Feb (Bernama) -- Projek mega negara, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan pembinaan 91.7 peratus setakat Januari lepas dengan tumpuan kini beralih kepada persiapan operasi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata dengan ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia, ia sekali gus menandakan projek infrastruktur nasional bernilai RM50.27 bilion itu telah memasuki fasa yang lebih penting. 

"Dengan peneriman EMU dan E-Loco maka kita akan memulakan fasa penting iaitu ujian dan pertauliahan (tren) yang mana ini selari dengan perancangan keseluruhan projek itu dan kita jangkakan bahawa jadual dirancang iaitu ECRL dapat beroperasi pada Januari tahun depan dapat dicapai. 

Ad Banner

"Sudah tentu beberapa bulan baki ini akan digunakan sepenuhnya untuk segala ujian dan sebagainya, saya harapkan bahawa keseluruhan projek ini berjalan lancar," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU & E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen KotaSAS.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer telah memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 E-Loco untuk tujuan kargo dan setakat ini, dua set tren EMU dan dua E-Loco telah tiba di Malaysia pada penghujung 2025, dan dirasmikan hari ini.

Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 km/j dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi kontigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.

Reka bentuk luaran dan dalaman tren itu dilhamkan daripada seni serta kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk selain kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan semua penumpang.

Loke turut memaklumkan baki tren dijadual tiba dalam beberapa bulan akan datang secara berperingkat dan akan diuji sebelum beroperasi. 

Sementara itu, beliau berkata inisiatif penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran ECRL juga penting kerana dapat memberikan keselesaan kepada penumpang. 

Beliau turut berharap beberapa kawasan yang belum diliputi rangkaian internet bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd dapat dilengkapkan agar capaian dapat dinikmati pengguna di sepanjang perjalanan.  

Tedahulu ketika berucap pada majlis itu, Loke berkata menjadi hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengintegrasikan Pantai Timur dan Pantai Barat secara lebih tersusun melalui ECRL yang diyakini akan meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan masa perjalanan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

"Warga Pantai Timur yang berada di Lembah Klang hanya perlu menunggu satu Syawal lagi untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri 2027 menaiki ECRL,” katanya. 

Pada majlis itu, jemputan kenamaan dan pengamal media turut berpeluang menaiki ECRL pergi dan balik dari Stesen KotaSAS ke Kuantan Port City bagi merasai sendiri pengalaman perjalanan menggunakan tren moden tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan