Ad Banner
 AM > BERITA

Kadar Zakat Fitrah Pahang RM8, RM14 Dan RM21

09/02/2026 08:22 PM

KUANTAN, 9 Feb (Bernama) -- Kadar zakat fitrah Pahang bagi tahun ini atau bersamaan 1447 Hijrah ditetapkan pada kadar RM8, RM14 dan RM21 setelah diperkenankan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata penetapan kadar itu dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang.

"Kadar minimum RM8 adalah diwajibkan kepada setiap umat Islam yang menggunakan beras putih tempatan manakala RM14 bagi pengguna beras import atau setara, serta RM21 bagi mereka yang menggunakan beras basmati atau setara.

Ad Banner

"Semua umat Islam di negeri ini boleh menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Hairi berkata bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah, 901 amil telah ditauliahkan di seluruh Pahang bagi melaksanakan kutipan secara rasmi.

“Umat Islam di Pahang dinasihatkan supaya membayar zakat fitrah hanya kepada amil yang telah ditauliahkan oleh MUIP,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa individu yang memungut zakat fitrah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seiring dengan arus pemodenan dan teknologi digital, beliau berkata MUIP menyediakan aplikasi EZ Amil bagi memudahkan urusan kutipan dan penerimaan bayaran zakat fitrah secara lebih sistematik, cekap dan telus.

Melalui aplikasi itu, pembayaran zakat boleh dilakukan secara tunai dan tanpa tunai termasuk menggunakan QR Pay, FPX, kad debit dan kredit, serta perkhidmatan Google Pay dan Apple Pay.

"Selain itu, kemudahan bayaran zakat fitrah secara dalam talian turut disediakan melalui laman sesawang rasmi MUIP serta kios layan diri bagi memberi lebih fleksibiliti kepada masyarakat.

"Bagi memastikan kelancaran sistem pembayaran digital berkenaan, MUIP turut menjalin kerjasama strategik bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad dalam integrasi kemudahan kod respons pantas (QR)," katanya 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sempena Ramadan, MUIP akan mengagihkan bantuan berjumlah RM18.28 juta kepada 34,415 penerima merangkumi pelbagai skim bantuan kebajikan dan pengimarahan Ramadan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan