Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Kaji Semula Keperluan, Hala Tuju Projek Pembangunan Di Labuan - Lo

10/02/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji semula keperluan dan hala tuju beberapa projek pembangunan di Labuan, termasuk cadangan pemindahan lokasi Projek Waterfront Labuan selaras dengan keutamaan semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata perkara itu dibincangkan dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam, yang antara lain meneliti senarai keutamaan atau wishlist bagi pembangunan Labuan.

Beliau berkata kerajaan memberikan komitmen untuk mengkaji semula kesesuaian lokasi bagi projek tertentu, termasuk cadangan pembinaan sebuah pusat konvensyen antarabangsa.

Ad Banner

“Cadangan mengenai pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa di Labuan turut dimasukkan dalam kajian ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai Projek Waterfront Fasa 1, Lo berkata pembinaannya bertujuan merealisasikan pembangunan pesisir air di pusat bandar selaras dengan pelan pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan serta matlamat jangka panjang Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan keseimbangan aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus.

“Secara asasnya, Projek Waterfront Labuan merupakan satu daripada komponen utama dalam rancangan struktur pembangunan Labuan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu kesesakan parkir di Putrajaya, Lo berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang menjalankan Kajian Rancangan Pemajuan Putrajaya 2050 (RPP2050) yang dijangka siap pada Oktober ini.

Bagi menangani kesesakan di kawasan sekolah pula, beliau memaklumkan PPj telah melaksanakan tiga inisiatif utama termasuk kawalan lalu lintas bersama pihak polis dan projek perintis keselamatan jalan raya di zon sekolah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan