Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Komisioner Jeneral Penjara Dahului Senarai 103 Penerima Darjah, Pingat Pahang

14/04/2026 04:06 PM

TEMERLOH, 14 April (Bernama) -- Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak mendahului senarai 103 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat sesi ketiga itu, yang berlangsung di Dewan Tun Razak di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua'adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah bersama suaminya FD Idzham FD Iskandar serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah.

Ad Banner

Abdul Aziz dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersama-sama Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman CP Datuk Ibrahim Darus dan Pengarah Urusan Kumpulan VST Group of Companies Datuk Yeoh Yih Sean.

Turut dikurniakan SSAP ialah Pengarah Urusan KCJ Engineering Sdn Bhd Datuk Dr Azman Yusoff dan Pengerusi Eksekutif Oriental Holdings Berhad Datuk Loh Kian Chong.

Penerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera dikurniakan kepada mantan Setiausaha MCA Kebangsaan mendiang Wang Choon Wing @ Wong Soon Joong yang diwakili balunya Yap Sew Lin. 

Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada  Timbalan Pengarah (Jenayah Siber) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman DCP Shamsul Amar Ramli.

Sebanyak 29 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Marina Mat Baki dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Johor Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim.

Penerima DIMP lain ialah Penasihat Pertahanan Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok Brigedier Jeneral Samsul Riza l Musa, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Ismajuri Ismail dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Mohd Fraziali Ismail.

Pengarah Kanan Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia Abdullah Jaafar turut dikurniakan DIMP, selain Presiden Persatuan Catur Negeri Pahang Hamidah Abdul Hamid dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Labuan Niswati Tarji.

Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada sembilan penerima, Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 10 penerima, Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 33 penerima serta Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada lima penerima.

Tengku Hassanal turut berkenan mengurniakan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) kepada dua penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) enam penerima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan