Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Tidak Boleh Ketinggalan Kuasai AI

11/02/2026 03:48 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) -- Sabah sebagai sebahagian daripada ekosistem nasional, tidak boleh ketinggalan dalam penguasaan kecerdasan buatan (AI) dan pentadbiran tanpa kertas bagi memastikan negeri ini kekal progresif serta berdaya saing bersama negeri lain dalam era digital masa kini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Azizan Morshidi berkata ini antara lain dapat dilihat dengan penguasaan AI, yang berpotensi besar menjadi pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial di Sabah.

Ad Banner

Beliau berkata penguasaan AI itu meliputi sektor kesihatan menerusi sistem sokongan diagnosis untuk hospital luar bandar, serta sektor pertanian melalui teknologi ramalan cuaca dan analisis tanah bagi meningkatkan hasil padi dan kelapa sawit.

Aplikasi mobiliti pintar berasaskan AI juga mampu digunakan untuk mengurangkan kesesakan di bandar utama, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkannya untuk analisis pasaran dan automasi perniagaan.

“Usaha Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh agenda itu adalah pada landasan selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, daya cipta dan ihsan,” kata pakar penyelidikan kuantitatif dan kualitatif sosial itu kepada Bernama.

Bagi memastikan tiada golongan tercicir, Azizan berkata kerajaan negeri melaksanakan kursus kemahiran AI di politeknik, universiti awam dan pusat latihan komuniti kepada belia, penjawat awam dan populasi umum, selaras dengan aspirasi inklusif Malaysia MADANI.

Beliau berkata pelaksanaan pentadbiran tanpa kertas juga bukan sekadar langkah teknikal, malah merupakan simbol reformasi beretika menerusi sistem janji temu digital, aplikasi aduan rakyat serta papan pemuka pentadbiran berasaskan teknologi AI.

"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, malah menjimatkan kos operasi kerajaan yang boleh dialihkan kepada kebajikan rakyat, termasuk menyokong program Ikhtiar MADANI dan memperkukuh agensi penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Azizan berkata Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 turut menekankan pembangunan mampan berasaskan teknologi digital dengan memperkukuh kerjasama strategik bersama sektor swasta dan rakan antarabangsa termasuk Indonesia, bagi menjadikan Sabah pusat inovasi di rantau Asia Tenggara.

"Penguasaan AI dan pentadbiran tanpa kertas menjadikan Sabah lebih cekap, telus dan mesra rakyat, di samping membina amanah melalui perlindungan data di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta strategi antirasuah menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah global," katanya.

Menerusi integrasi sistem digital negeri dengan platform nasional, Azizan berkata Sabah dijangka menjadi antara negeri terawal mencapai sasaran persekutuan, iaitu 95 peratus perkhidmatan dalam talian menjelang 2030, daripada 80 peratus pada tahun lepas.

Rancangan Strategik 2026-2030 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga akan memberikan manfaat kepada Sabah melalui peningkatan kualiti data digital, membolehkan kerajaan negeri merangka dasar pendidikan, kesihatan dan ekonomi yang lebih responsif berasaskan bukti.

"Sabah kini berada di persimpangan penting dalam sejarah pentadbiran moden dan dengan sokongan rakyat serta sektor swasta, negeri ini mampu mengubah naratif kepada kisah kejayaan nasional," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata kementeriannya sedang merangka langkah strategik bagi memperkasakan penggunaan AI di negeri ini terutama dalam pendidikan, selaras keperluan pembelajaran masa kini dan pembangunan modal insan Sabah.

“Inisiatif utama yang sedang dirangka ialah pelaksanaan program One-Staff atau One-AI bertujuan meningkatkan literasi dan keupayaan penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam serta sektor pendidikan negeri. Kita akan mula di kementerian ini sebelum diperluas ke kementerian lain.

“Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modul AI khusus untuk Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi memastikan para pendidik dilengkapi dengan kemahiran AI, digital dan teknologi terkini,” katanya.

James berkata langkah ini adalah selaras dengan keperluan sistem pendidikan masa kini, selain melihat potensi mengembangkan modul AI yang sejajar dengan sukatan pelajaran buku teks Kementerian Pendidikan supaya dapat dimanfaatkan oleh sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam pada itu, James menegaskan kepentingan pembangunan ‘AI luar talian’ atau sebagai strategi mengatasi jurang digital bagi memastikan pelajar serta warga pendidik di kawasan pedalaman dan kawasan yang mempunyai capaian Internet terhad tidak tercicir daripada arus pembelajaran digital.

Usaha membangunkan platform AI pelbagai bahasa, termasuk penggunaan bahasa dan dialek tempatan Sabah, turut diketengahkan dalam perancangan itu. Ini pendekatan inklusif yang mengambil kira kepelbagaian latar belakang pelajar serta realiti sosiobudaya masyarakat di negeri ini.

“Kerajaan negeri kekal komited untuk memanfaatkan teknologi AI secara inklusif, beretika dan bertanggungjawab bagi memastikan akses kepada pendidikan yang berkualiti, saksama dan bersedia menghadapi masa depan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan