Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Match Of Hope, Simbol Solidariti Untuk Gaza

12/02/2026 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Perlawanan amal Match of Hope: Solidariti Untuk Ibu & Anak di Gaza di Stadium Merdeka malam ini bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya menjadi simbol kebersamaan rakyat Malaysia apabila hampir 50 peratus daripada sasaran RM100,000 bagi Projek Dana Baby Bag Gaza berjaya dikumpul setakat ini.

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata program julung kali diadakan itu dirancang dalam tempoh dua minggu dan berjaya menghimpunkan ahli-ahli Parlimen serta legenda bola sepak negara, termasuk Datuk Dollah Salleh.

“Ini simbol harapan. Kita berada di Stadium Merdeka, lambang kemerdekaan negara. Kombinasi ini penting untuk menyampaikan mesej solidariti dengan cara kreatif dan dekat dengan masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Beliau turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 dan memaklumkan kutipan dana akan diteruskan sehingga akhir Mac serta menyatakan keyakinan sasaran itu mampu dicapai dengan sokongan berterusan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi MyCARE Prof Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata dana berkenaan akan digunakan untuk menyediakan kit kebersihan serta barangan asas kepada golongan terjejas yang berdepan situasi kritikal akibat konflik berpanjangan di Gaza.

“Kita letakkan sasaran RM100,000. Dalam konteks Gaza, jumlah itu mungkin kecil, namun ia tetap bermakna. MyCARE akan menyalurkan bantuan melalui rangkaian kami di sana,” katanya.

Menurut beliau, sejak 7 Okt 2023, MyCARE telah menyalurkan kira-kira RM30 juta bantuan ke Gaza yang memberi manfaat kepada hampir 700,000 penerima.

Dr Kamal turut mengumumkan pelancaran kempen “MyRamadan” dengan sasaran kutipan RM4 juta sempena Ramadan tahun ini, berbanding RM3.2 juta yang dikumpul tahun lalu.

Beliau berkata dana tersebut bukan sahaja disalurkan ke Gaza malah kepada penerima lain yang memerlukan.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata penganjuran program menerusi platform sukan mampu menyemarakkan semangat solidariti secara lebih inklusif merentas kaum, agama dan fahaman politik.

“Kementerian sentiasa menyokong usaha yang melibatkan perpaduan dan juga persefahaman antara kaum antara agama secara non-partisan. 

“Sukan merentas segalanya. Dengan lokasi di Stadium Merdeka ini, ia dapat menimbulkan semangat yang lebih padu. Insya-Allah semangat itu membawa kepada kemerdekaan untuk Palestin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan