PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia diseru bersama-sama menunjukkan solidariti dan mendoakan kejayaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang telah memulakan pelayaran ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata misi tersebut melibatkan penyertaan individu dari seluruh dunia dan turut disertai wakil Malaysia, sekali gus menjadi satu usaha berskala global yang signifikan.
"Saya hendak mengajak rakyat Malaysia, jom kita semua fokus kepada usaha bersolidariti. Mereka sekarang ini sedang melakukan misi dan kita doakan supaya mereka selamat pergi dan pulang, dan moga-moga misi itu berjaya. Kita doakan semuanya dipermudahkan.
"Sebab kali ini merupakan satu misi yang sangat universal, disertai oleh begitu ramai daripada seluruh dunia dan kita rasa bersyukur kerana ada rakyat Malaysia terlibat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri Peringkat Kebangsaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini hari ini.
Misi GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza kira-kira 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) pada 12 April.
GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa yang beriltizam memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
Misi tersebut melibatkan lebih 80 kapal dengan penyertaan kira-kira 1,000 individu dari seluruh dunia, merangkumi usaha maritim dan gerakan sokongan di darat termasuk advokasi undang-undang dan kempen solidariti di pelbagai negara.
Sementara itu, majlis berkenaan menyaksikan YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM3.1 juta yang memanfaatkan 29,100 penerima, terdiri daripada kalangan pelajar dan masyarakat memerlukan.
Pada majlis sama, YAPEIM turut melancarkan Kempen Keep Malaysia Clean-YAPEIM (KMC-YAPEIM) yang merupakan inisiatif Program Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Okt 2025.
YAPEIM telah dipilih sebagai perintis pelaksanaan KMC mewakili agensi agama bagi meningkatkan kesedaran warga kerja dan masyarakat terhadap budaya bersih, integriti dan harmoni.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial